Selasa, 11 September 2018 | 2:19pm
KANAK-kanak perempuan berusia enam tahun menjadi pesakit pembedahan jantung terbuka pertama Mali

Mali rai kejayaan bedah jantung terbuka pertama

BAMAKO: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menjadi pesakit pembedahan jantung terbuka pertama Mali semalam, susulan kejayaan sekumpulan pakar bedah Mali dan Perancis, juga yang ulung kali bagi negara Afrika itu.

Fanta Diarra, yang didiagnos dengan masalah jantung ketika masih bayi, menjalani pembedahan dalam apa yang diharapkan pakar menjadi prosedur pertama daripada banyak pembedahan menyelamatkan nyawa bagi rakyat negara itu.

Sebelum ini, rakyat Mali yang perlu ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.

“Saya gembira akan dibedah. Saya akan menjadi seperti kanak-kanak lain, boleh bekerja dan berkahwin,” kata kanak-kanak itu sebelum pembedahannya.

Diarra ialah seorang daripada 2,500 kanak-kanak yang menantikan pembedahan, kira-kira 50 daripadanya akan menjalani prosedur itu pada akhir tahun ini di unit kardio-pediatrik baru di hospital di Bamako, yang dibuka oleh persatuan perubatan Perancis, La Chaine de l’Espoir.

“Ini hari penting bagi kami. Ini aalah pembedahan jantung terbuka pertama, tetapi menyusul prosedur ini ada ratusan lagi kanak-kanak yang menunggu, kami tahu ini bukan pengakhiran,” kata pakar bedah kardiak dan pengasas pertubuhan itu, Profesor Alain Deloche.

Matlamatnya adalah bagi pasukan pakar bedah Perancis melakukan pembedahan dan pada masa sama melatih pakar bedah Mali.

Pakar bedah kardiovaskular Mali, Dr Baba Ibrahima Diarra, berkata pasukan tempatan memerlukan bantuan pada awalnya kerana prosedur itu masih baru di negara berkenaan. — AFP

117 dibaca
Berita Harian X