Isnin, 10 September 2018 | 7:29am
PRESIDEN Sudan, Omar al-Bashir. - Foto REUTERS

Bashir pecat Kabinet, lantik PM baharu

KHARTOUM: Presiden Sudan, Omar al-Bashir memecat Kabinet 31 anggota negara itu dan melantik seorang Perdana Menteri baharu yang akan membentuk kerajaan lebih kecil bagi menangani krisis ekonomi di negara Afrika itu.

Keputusan Bashir memecat seluruh kerajaan diluluskan pemimpin atasan parti pemerintahannya Parti Kongres Nasional (NCP) dalam satu mesyuarat lewat malam.

Keputusan membentuk kerajaan baharu itu dibuat ketika Sudan berdepan krisis ekonomi meningkat didorong kekurangan akut mata wang asing dan peningkatan inflasi lebih 65 peratus.

“Situasi ekonomi perlu diselesaikan dan untuk itu, Presiden Bashir memutuskan memecat kerajaan di semua peringkat.

“Presiden Bashir membuat keputusan untuk memiliki anggota kerajaan lebih kecil seramai 21 orang,” kata pembantu atasan Bashir, Faisal Hassan Ibrahim kepada media selepas mesyuarat NCP.

Kabinet terdahulu terdiri daripada 31 menteri diketuai Perdana Menteri Bakri Hassan Saleh, yang juga Naib Presiden Pertama.

Bashir menamakan Moutaz Mousa Abdallah, Menteri Pengairan Kabinet terdahulu sebagai Perdana Menteri Baharu. Saleh akan terus memegang jawatan Naib Presiden Pertama.

Beliau juga melantik Mohamed Osman Yousif Kiber sebagai Naib Presiden.

Ibrahim berkata, Abdallah ditugaskan membentuk Kabinet baharu, namun tidak jelas bila beliau akan mengangkat sumpah. -AFP

1092 dibaca
Berita Harian X