Selasa, 10 April 2018 | 7:53am
ANGGOTA penyelamat mengambil mangsa yang terbunuh selepas bas dua tingkat yang mereka naiki merempuh dahan pokok. - Foto Reuters

2 pelancong maut, 6 parah kemalangan di Malta

VALLETTA: Dua pelancong maut, manakala enam lagi cedera parah di Malta selepas bas dua tingkat yang mereka naiki merempuh dahan pokok.

Menurut polis, mangsa yang terbunuh adalah seorang lelaki warga Belgium berusia 62 tahun dan seorang wanita Sepanyol, 37.

Menteri Kesihatan, Chris Fearne, berkata tiga daripada mangsa yang parah adalah warga Britain, dua daripadanya kanak-kanak lelaki berusia enam dan lapan tahun serta seorang lelaki berusia 44 tahun.

Mangsa lain, termasuk seorang wanita Jerman berusia 31 tahun, seorang wanita Itali, 72, dan seorang lelaki berusia 35 tahun yang belum dikenal pasti kerakyatannya.

Kemalangan berlaku di Zurrieq, 16 kilometer dari Valletta, laluan yang sering digunakan bas pelancong.

Media tempatan melaporkan dahan itu mungkin lebih rendah daripada biasa akibat ribut pada malam sebelumnya.

Ketika kejadian, pelancong dikatakan sedang duduk di dek terbuka bas berkenaan. - Reuters

307 dibaca
Berita Harian X