Jumaat, 6 April 2018 | 9:53pm

15 maut serangan di bank, balai polis

KANO: Seramai 15 orang maut dalam satu rompakan apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang dua buah bank dan balai polis di pekan Offa, semalam.

Jurucakap polis negeri Kwara, Ajayi Okasanmi, berkata kumpulan lelaki berkenaan menyerang balai polis dan pada masa sama, turut menyerang dua buah bank.

"Seramai sembilan orang anggota polis dan enam orang awam terbunuh dalam serangan berkenaan," katanya.

Okasanmi berkata, kumpulan penyerang itu menyerbu kawasan perniagaan yang sibuk pada jam 4.50 petang (waktu tempatan).

"Pihak polis akan berusaha sebaik-baiknya untuk memastikan semua penyerang berkenaan berjaya ditangkap," katanya sambil memberitahu, jumlah kerugian akibat rompakan itu masih belum diketahui.

Serangan terbabit berlaku di bahagian tengah Nigeria yang terkenal sebagai pusat aktiviti jenayah.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari sebelum ini terpaksa menggerakkan pasukan keselamatan untuk bertugas di seluruh negara bagi mengawal keganasan yang sering berlalu akibat pemberontakan militan Boko Haram. - AFP

387 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »