Jumaat, 6 April 2018 | 7:47pm
ISTERI bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, Grace Mugabe. - Foto AFP

Grace Mugabe didakwa terbabit kes seludup gading

HARARE: Isteri bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, Grace Mugabe akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan kes penyeludupan gading, selepas beliau dituduh mengatur penghantarannya ke luar negara.

Akhbar milik kerajaan, The Herald melaporkan, hasil siasatan pihak polis berjaya menemui bukti mengenai peranan Grace dalam penyeludupan gading ke China, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

"Kami sedang menutup siasatan kes ini. Kami juga sudah menahan dan menyoal siasat beberapa suspek lagi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini," lapor akhbar itu yang memetik sumber polis.

The Herald sebelum ini adalah 'akhbar rasmi' rejim Mugabe dan laporan mengenai siasatan itu disiarkan dengan tajuk 'polis kukuhkan cengkaman terhadap Grace Mugabe'.

Sementara itu, dokumen yang diperoleh dari pihak berkuasa taman-taman Zimbabwe menunjukkan Grace memerintahkan pegawainya untuk meluluskan permit bagi mengeksport gading bernilai jutaan dolar sebagai hadiah kepada pemimpin asing.

Bagaimanapun, sebaik sahaja gading itu berjaya keluar dari Zimbabwe, ia akan dihantar ke pasaran gelap.

Jurucakap polis yang dihubungi AFP enggan memberi sebarang komen.

Sebelum ini, Grace adalah calon pilihan bagi menggantikan suaminya, Robert, 94, yang memerintah Zimbabwe sejak merdeka daripada penjajahan British pada 1980.

Namun, Robert dipaksa meletakkan jawatan pada November lalu, dalam rampasan kuasa pihak tentera, sekali gus membolehkan Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa mengambil alih kuasa. - AFP

379 dibaca
Berita Harian X