Isnin, 2 April 2018 | 2:28pm
SEIF al-Islam semasa dalam tahanan.- Foto fail AFP

Nasib Seif al-Islam satu misteri

ZINTAN: Hampir setahun selepas militia Libya mengumumkan ia membebaskan anak lelaki dan pewaris diktator dibunuh Muammar Gaddafi, nasib Seif al-Islam kekal satu misteri.

Laporan pembebasannya dari tahanan oleh Briged Abu Bakr al-Sadiq yang satu ketika dulu mengawal bandar ini terletak di barat Libya, tidak pernah disahkan dan mencetuskan khabar angin liar.

Ketika sesetengah pihak menegaskan dia masih berada di bandar ini, yang lain mendakwa Seif sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun satu perkara yang pasti, dia tidak pernah dilihat atau didengar sejak Jun 2014 apabila muncul menerusi video dari sini ketika dibicarakan sebuah mahkamah Tripoli.

Nama Seif kembali disebut dalam berita selepas bekas Presiden Perancis Nicolas Sarkozy didakwa di Paris kerana membiayai kempen pilihan raya pada 2007 menggunakan wang disumbangkan Gaddafi.

Dalam satu temu ramah pada 2011 dengan rangkaian televisyen Euronews, Seif berkata, Sarkozy perlu memulangkan semula wang diambil dari Libya untuk membiayai kempen pilihan rayanya.

Seif yang mana namanya bermaksud 'pedang Islam', ditahan oleh militia berpusat di sini pada November 2011, beberapa hari selepas bapanya dibunuh dalam satu kebangkitan disokong NATO menentang pemerintahannya.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kini terbabit dalam perundangan tarik tali dengan pihak berkuasa Libya untuk memindahkan Seif ke The Hague, di mana dia dikehendaki atas jenayah kemanusiaan termasuk membunuh.

Namun pada Julai 2015, sebuah mahkamah Tripoli menjatuhi hukuman mati ke atas Seif, 45, tanpa kehadirannya bersama lapan individu dalam era pemerintahan Gaddafi.

Menurut beberapa sumber Libya dan diplomat, Seif tidak meninggalkan bandar ini, sebahagian besarnya bandar puak sejauh 170 kilometer di barat daya Tripoli dan satu daripada pusat kebangkitan 2011.

Adakah dia masih seorang tahanan? Tiada seorang pun di sini, bandar dengan 40,000 penghuni memberi jawapan jelas.

"Ya, dia masih seorang tahanan. Walaupun jika dia bukan seorang tahanan, dia dikehendaki oleh ICC dan tiada tempat untuk pergi," kata Mokhtar al-Akhdar, anggota majlis tentera Zintan yang mengumpulkan militia utama bandar ini.

Seorang daripada pemimpin puak di bandar ini, Chaaban al-Marhani, juga memberi keterangan mengelirukan mengenai perihal Seif.

"Dia berada di sini (Zintan) dan seorang tahanan namun nasibnya bukan di tangan Zintan," katanya.

Briged Abu Bakr al-Sadiq yang menahannya lebih enam tahun lalu berulang kali enggan menyerahkan Seif kepada pihak berkuasa di Tripoli atau ICC.

Kumpulan itu berkata, sudah membebaskannya pada Jun 2017 sebagai sebahagian pengampunan umum diarahkan parlimen berpusat di timur Libya namun pakar berkata, Seif tidak dimasukkan dalam program itu. -AFP

1175 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »