Isnin, 5 March 2018 | 8:17pm

10 terbunuh pergaduhan pengembala, petani

KANO: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam keganasan yang berlanjutan beberapa hari antara pengembala dan petani di timur Nigeria, kata polis hari ini.

Namun jumlah kematian dalam kalangan pengembala lebih tinggi.

Pertempuran berlaku di beberapa perkampungan pengembala terpencil di daerah Mambilla di Taraba Khamis lalu dan berterusan sepanjang minggu.

Keganasan adalah sebahagian siri pertempuran antara pengembala ternakan dan petani di tengah dan selatan Nigeria yang memberi tekanan kepada kerajaan supaya bertindak.

"Setakat ini kami merekodkan kematian 10 orang dalam keganasan antara pengembala dan petani di Mambilla.

"Kakitangan keselamatan berjaya mengembalikan keamanan di kawasan itu dan operasi keselamatan berterusan untuk mengekalkannya," kata jurucakap polis, David Misal.

Menurut pengembala, militan Mambilla bersenjatakan parang dan tombak menyerbu lima penempatan pengembala di Nyiwa, Yerimau, Wuro-Mogoggo, Leme dan Gagarum antara Khamis dan Sabtu.

"Berdasarkan rekod kami, 19 maut dan 23 cedera dalam serangan di lima kampung berkenaan oleh militan bersenjata Mambilla," kata ketua kesatuan pengembala Nigeria (MACBAN), Mohammed Keruwa. - AFP

321 dibaca
Berita Harian X