Isnin, 5 March 2018 | 9:16am
- Foto hiasan

Lelaki dewasa, kanak-kanak mangsa rogol di Afrika

DAKAR: Lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki menjadi mangsa rogol Pasukan bersenjata Republik Tengah Afrika (CAR), keganasan seks yang tidak pernah dilapor atau dipedulikan, kata sekumpulan penyelidik, hari ini.

Jurucakap penyelidik berkata, kajian yang dikendalikan kumpulan penyelidik Projek 'All Survivors' adalah jenayah seks pertama dilaporkan terhadap golongan lelaki di negara bergolak itu, sedangkan tumpuan kebanyakan responden lebih terarah kepada golongan wanita yang terselamat.

Berdasarkan laporan kajian terbabit, puluhan kes membabitkan lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki menjadi mangsa rogol ketika mereka menjadi tawanan atau kerana enggan menyertai pasukan bersenjata.

"Penemuan ini menunjukkan pola golongan lelaki yang menjadi mangsa seksual, memerlukan perhatian segera, tulis laporan itu.

Pengarah Projek All Survivor, Charatu Lata Hogg berkata, kebanyakan anggota pasukan itu menggunakan keganasan seks terhadap lelaki dewasa dan kanak-kanak sebagai alat untuk memalukan, melemahkan serta keganasan terhadap mereka yang dianggap musuh.

"Hasil kajian kami hanya memberikan gambaran terhadap apa yang sedang berlaku," katanya kepada Yayasan Thomson Reuters.

Menurut organisasi kemanusiaan, sukar untuk mendapatkan bilangan mangsa tetapi satu kaji selidik pada 2016 mendapati 14 peratus daripada mangsa keganasan berdasarkan jantina di negara itu adalah lelaki.

Kata Hogg, angka itu mungkin rendah kerana disebabkan rasa malu dan stigma menghalang lelaki daripada bercakap dan petugas bantuan selalunya tidak mencari mangsa lelaki. Atas alasan yang sama, mangsa lelaki jarang mendapatkan rawatan atau sokongan psikologi.

"Kita sedang melihat kepada satu keadaan yang mana tidak ada sesiapa bertanya sama ada lelaki turut menjadi mangsa dera," katanya. - Reuters

2281 dibaca
Berita Harian X