Rabu, 28 Februari 2018 | 10:54pm

Rwanda tutup sebuah masjid, 714 gereja

KIGALI: Sebuah masjid dan 714 gereja di Rwanda bakal ditutup, selepas gagal mematuhi piawaian keselamatan serta kebersihan.

Ketua Lembaga Tadbir Rwanda, Anastase Shayka, berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana ada di antara gereja terbabit menjalankan aktiviti keagamaan dalam keadaan struktur bangunan tidak selamat dan kotor.

"Beberapa kes seperti pencemaran bunyi turut dilaporkan dan ada juga yang beroperasi tanpa permit yang sah," katanya.

Shayka berkata, penutupan akan memberi kesan, terutama kepada gereja Pentecostal yang akan dilaksanakan esok.

Katanya, semua gereja diarahkan untuk menghentikan operasi sehingga mereka mematuhi syarat yang ditetapkan.

Kebanyakan gereja yang ditutup bersaiz kecil dengan hanya ratusan pengunjung.

Tindakan tegas itu juga dijangka membabitkan gereja di luar ibu negara dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Kebanyakan wakil gereja mengkritik tindakan itu dan menganggap pihak berkuasa terlalu tegas.

"Pihak yang gagal mematuhi hanya beberapa syarat, sepatutnya dibenar untuk dibuka semula dan beroperasi sambil memperbetulkan masalah yang dibangkitkan," kata Presiden Forum Gereja di daerah Nyarungenge, termasuk Kigali.

Penubuhan gereja di Rwanda memerlukan sijil sah yang diiktiraf kerajaan dan ia perlu diperbaharui setiap tahun.

Pada masa sama, Rwanda turut memperkenalkan undang-undang baharu sebelum mana-mana organisasi keagamaan dibenarkan beroperasi dan ia dilihat menyukarkan penubuhan gereja baharu. - AFP

2680 dibaca
Berita Harian X