Ahad, 4 Februari 2018 | 2:15pm
ABDULLA Yameen. - Foto Reuters

Mahkamah cuba pecat Presiden Maldives

MALE: Mahkamah Agung Maldives cuba memecat Presiden Abdulla Yameen kerana tidak mematuhi keputusannya membebaskan beberapa pemimpin pembangkang yang ditahan selepas perbicaraan tidak adil, kata Peguam Negara hari ini.

Mohamed Anil turut meminta semua agensi kerajaan dan unit pertahanan supaya tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Agung berhubung undi tidak percaya Yameen.

"Kami menerima maklumat bahawa wujud perkembangan yang akan membawa kepada krisis keselamatan negara.

"Menurut maklumat itu, Mahkamah Agung mungkin akan mengeluarkan perintah untuk undi tidak percaya atau memecat Presiden.

"Agensi kerajaan juga menerima maklumat ini. Sebarang institusi tidak boleh menguatkuasakan sesuatu tanpa kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

"Saya sudah memaklumkan kepada mereka bahawa jika situasi ini berlaku, agensi penguat kuasa undang-undang tidak perlu mematuhi perintah mahkamah yang bertentangan dengan perlembagaan," kata Anil kepada pemberita di ibu negara Male.

Minggu lalu, Mahkamah Agung menggugurkan kes terhadap sembilan individu termasuk bekas Presiden Muhamed Nasheed yang kini dalam buangan di Britain.

Difahamkan, Nasheed kini berjuang supaya hak berpolitik beliau dikembalikan. - Reuters

797 dibaca
Berita Harian X