Isnin, 8 Januari 2018 | 12:22am
BEKAS Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafik. - Foto Reuters

Ahmed Shafik umum tarik diri bertanding Presiden Mesir

KAHERAH: Bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafik mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya presiden tahun ini.

Keputusan itu diumumkan menerusi mesej yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Ahmed dianggap mencabar terkuat kedudukan Presiden, Abdel Fattah al-Sisi dalam pilihan raya yang dijangka diadakan awal tahun ini.

Namun, Abdel Fattah masih belum mengumumkan secara rasmi keputusannya untuk bertanding bagi mempertahankan jawatan itu.

Sementara itu, Ahmed kembali ke Mesir dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu, selepas menyatakan hasratnya untuk bertanding bagi merebut jawatan itu.

Bekas komander tentera udara dan Menteri Penerbangan berusia 76 tahun itu tewas dalam pilihan raya presiden pada 2012 kepada calon Ikhwanul Muslimin, Mohamed Mursi, sebelum melarikan diri ke UAE.

"Ketiadaan saya selama lima tahun menyebabkan wujudnya jurang bagi saya untuk mengetahui dengan mendalam pembangunan dan kemajuan yang berlaku di negara ini.

"Jadi, saya merasakan bahawa saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk mengetuai negara ini pada masa akan datang.

"Oleh itu, saya membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang," katanya dalam satu kenyataan. - Reuters

448 dibaca
Berita Harian X