Jumaat, 5 Januari 2018 | 10:35am
KEADAAN kereta api penumpang yang merempuh sebuah trak di lintasan di Afrika Selatan. - Foto AFP
KEADAAN trak selepas dirempuh sebuah kereta api penumpang di lintasan di Afrika Selatan. - Foto AFP
KEADAAN kereta api penumpang yang merempuh sebuah trak di lintasan di Afrika Selatan. - Foto AFP

18 maut tren rempuh trak

KROONSTAD: Seramai 18 maut manakala 254 lagi cedera apabila sebuah kereta api penumpang merempuh trak di lintasan di Afrika Selatan sebelum terbakar semalam.

Kebakaran bermula daripada satu gerabak yang tergelincir. Tren terbabit dalam perjalanan dari Port Elizabeth ke Johannesburg.

Seorang penumpang, Tiaan Esterhuizen berkata, dia cuba menyelamatkan tiga wanita yang terperangkap dalam gerabak terbakar.

"Saya melihat 12 gerabak tergelincir dan satu daripadanya terbakar. Kami mendengar beberapa wanita menjerit apabila menghampirinya, justeru beberapa penumpang lain memanjat untuk menyelamatkan mereka.

"Dua daripada wanita terbabit bertindih antara satu sama lain manakala seorang lagi jauh ke belakang. Kakinya tersekat. Seorang wanita menjerit ada bayi dalam gerabak.

"Kami mencari namun gagal berjumpa kanak-kanak dimaksudkan. Saya pasti wanita terbabit rentung dalam kebakaran," katanya kepada laman berita Times LIVE.

Penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa. Pihak berkuasa memberi amaran, angka yang maut mungkin meningkat.

"Polis sedang menyiasat. Pemandu trak menyebabkan banyak nyawa melayang. Dia kini dibawa ke hospital untuk menguji darah bagi mengesahkan jika dia mabuk atau tidak, atau punca masalah," kata Menteri Pengangkutan Joe Maswanganyi kepada media di tempat kejadian.

Syarikat kereta api Shosholoza Meyl yang mengendalikan perkhidmatan tren jarak jauh di Afrika Selatan berkata, pengangkutan awam itu bertembung dengan trak terbabit jam 9 pagi waktu tempatan.

Ia berkata, trak itu melintas 'tidak mengikut jadual' di landasan apabila dilanggar kereta api laju terbabit antara bandar Hennenman dan di sini, sejauh 200 kilometer di barat daya Johannesburg.

Satu daripada gerabak yang tergelincir adalah penjana kuasa, punca kebakaran. Shosholoza Meyl berkata, ada 429 penumpang menaiki kereta api.

Pemangku ketua eksekutif Agensi Kereta Api Penumpang Afrika Selatan, Mthuthuzeli Swartz, mengesahkan 18 terbunuh manakala 254 cedera. -AFP

281 dibaca
Berita Harian X