Ahad, 1 Oktober 2017 | 10:54am
PESAWAT tentera Congo terhempas di Kinshasa. - Foto Reuters
ORANG awam melihat dari dekat pesawat tentera Congo yang terhempas di Kinshasa. - Foto Reuters

12 maut pesawat tentera Congo terhempas

KINSHASA: Pesawat kargo yang disewa tentera Republik Demokratik Congo terhempas berhampiran ibu kota negara itu semalam, menyebabkan semua 12 penumpang dan kru terkorban.

Pesawat Antonov itu baru berlepas dari lapangan terbang Ndjili di Kinshasa, menuju ke wilayah Kivu di timur, lokasi tentera bertempur dengan kumpulan militia, kata pegawai lapangan terbang yang enggan dikenali.

Ia terhempas di N'sele, kira-kira 100 kilometer ke timur bandar raya itu.

Menteri Pengangkutan, Jose Makila, dalam kenyataan yang dibacakan di televisyen, berkata keseluruhan 12 anggota dan kru berada dalam pesawat tetapi tiada yang terselamat.

"Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca nahas," tambahnya.


ORANG awam memegang serpihan pesawat yang terhempas. - Foto Reuters

Wartawan AFP menyaksikan Pengawal Republikan negara itu mendirikan kepungan sekitar lokasi nahas, di kawasan tidak berpenghuni yang pernah menempatkan kompleks industri pertanian.

Pesawat, yang mempunyai seorang kru Russia, membawa dua kenderaan dan senjata, selain anggota tentera, kata sumber di ibu pejabat tentera yang juga enggan dikenali. - AFP

344 dibaca
Berita Harian X