Sabtu, 16 September 2017 | 11:05pm
PRESIDEN Mohammed Mursi.

Hukuman penjara Mursi dikurangkan 15 tahun

KAHERAH: Mahkamah khas Mesir hari ini mengurangkan hukuman penjara ke atas bekas Presiden Mohammed Mursi kepada 25 tahun, berbanding 40 tahun yang dijatuhkan sebelum ini.

Ketua Gerakan Ikhwanul Muslimin itu sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan membocorkan maklumat sulit kepada Qatar.

Mursi yang dipilih secara demokrasi selepas revolusi Mesir pada tahun 2011 digulingkan pada pertengahan tahun 2013 oleh Jeneral Abdel Fattah al-Sisi susulan pemberontakan besar-besaran terhadap pemerintahannya.

Mursi sebelum ini sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan membunuh peserta tunjuk perasaan pada tahun 2012.

Sejak berjaya merampas kuasa dari Mursi, Sisi telah mengharamkan sepenuhnya gerakan Ikhwanul Muslimin termasuk dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas ratusan pengikut kumpulan berkenaan.

Pada tahun 2014, Mursi dan sembilan pengikut didakwa menggugat keselamatan negara dengan membocorkan maklumat dan dokumen sulit kepada Qatar ketika hubungan kedua-dua negara sedia bermasalah berikutan sokongan penuh Qatar terhadap beliau. - Reuters

2112 dibaca
Berita Harian X