Sabtu, 16 September 2017 | 2:15am
FOTO hiasan.

Pesta buku ubah persepsi dunia terhadap Somalia

MOGADISHU: Selepas sekian lama diselubungi pelbagai masalah, termasuk aktiviti lanun, kebuluran dan letupan bom, Somalia menampilkan sisi berbeza minggu ini apabila buat julung kali menerima kehadiran penulis asing ke pesta buku tahunan negara itu.

Penyertaan kumpulan penulis terbabit membawa petunjuk bahawa angin perubahan sudah melanda negara Tanduk Afrika itu, susulan kejayaan pasukan kerajaan merampas semula wilayah mereka daripada militan Islam dengan bantuan pasukan pengaman Kesatuan Afrika.

Meskipun begitu, penganjur enggan mengambil risiko dan mengupah sekurang-kurangnya 60 pengawal keselamatan untuk bertugas di luar hotel yang menjadi lokasi pesta buku berkenaan.

Penganjur, Mohamed Diini, berkata ramai penulis berasa takut untuk mengambil bahagian dalam acara itu pada tahun 2015.

"Tahap keselamatan semakin baik tetapi kumpulan penulis itu masih teragak-agak untuk menulis atau menerbitkan buku mengenai senario semasa negara ini," katanya.

Serangan dan ancaman militan al-Shabaab yang bertapak di Somalia sejak 2011 ternyata tidak menghalang 31 penulis terdiri daripada rakyat Rwanda, tiga rakyat Kenya dan seorang penuntut ijazah doktor falsafah dari Britain membuat pembentangan mengenai karya mereka. - Reuters

293 dibaca
Berita Harian X