Ahad, 10 September 2017 | 12:40pm

WHO keluar amaran wabak taun di Congo

KINSHASA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengeluarkan amaran penularan wabak taun di Republik Demokratik Congo, yang sehingga kini sudah mengorbankan 528 nyawa.

Menurut WHO, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan taun adalah masalah kesihatan awam utama di negara itu, apabila jutaan kes dilaporkan setiap tahun, dengan 817 penduduk maut akibat penyakit berkenaan sepanjang tahun lalu.

"Wabak taun di Republik Demokratik Congo sudah mencapai tahap membimbangkan apabila 20 daripada 26 wilayah dalam negara itu sudah terjejas dengan penyakit berkenaan," kata WHO dalam satu kenyataan.

Penyakit taun merebak menerusi bekalan air minuman yang tercemar dan boleh menyebabkan cirit-birit yang teruk.

Kanak-kanak adalah golongan yang berisiko tinggi terdedah kepada penyakit itu.

Mengikut statistik WHO, antara 1.4 juta hingga 4.3 juta kes membabitkan taun dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun, dengan kadar kematian seramai 142,000 orang.

"Sehingga 2 September lalu, pihak berkuasa Republik Demokratik Congo sudah merekodkan sebanyak 24,217 kes disyaki taun," kata WHO. - AFP

137 dibaca
Berita Harian X