Selasa, 5 September 2017 | 2:12pm
FOTO hiasan.

Dalang insiden banduan lari dikenal pasti

KATIOLA: Pihak berkuasa Ivory Coast tidak menolak kemungkinan pengawal menjadi dalang insiden hampir 100 banduan berjaya melarikan diri dari penjara, di sini, baru-baru ini.

"Ia sesuatu yang tidak dapat difahami. Dinding penjara setinggi enam meter dan ada banyak pintu sebelum seseorang boleh sampai ke pagar utama, jadi amat jelas insiden ini didalangi orang dalam.

"Ada individu, pengawal penjara yang membuka pintu," kata Timbalan Datuk Bandar Katiola, Coulibaly Ouamien kepada AFP.

Sementara itu, sumber penjara mengesahkan bahawa pagar utama dibiarkan tidak berkunci ketika kejadian berlaku.

Pengarah Pentadbiran Penjara, Joachim Kongoue Koffi, dalam satu kenyataan berkata, 98 banduan berjaya melarikan diri pada awal pagi Ahad lalu dari penjara yang terletak kira-kira 45 kilometer di utara Bouake.

Bagaimanapun, Koffi berkata, 36 banduan berjaya diberkas semula dan beberapa pegawai yang bertugas ketika kejadian sudah dipecat. - AFP

599 dibaca
Berita Harian X