Selasa, 18 Julai 2017 | 12:24am

Wanita letup diri dalam masjid, 8 maut

MAIDUGURI, Nigeria: Lapan orang dilaporkan terbunuh dalam insiden pengebom nekad wanita di sebuah masjid di timur laut Nigeria.

Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Borno, Ahmed Satomi, berkata insiden berlaku kira-kira jam 5.30 pagi (waktu tempatan) di kawasan London Ciki, di sini, yang menjadi pusat aktiviti militan Boko Haram sejak 2009.

"Tindakan wanita itu menyebabkan lapan mangsa maut, manakala 15 lagi cedera.

"Ketika kejadian, masjid itu dikawal anggota pasukan petugas bersama militia (JTF).

"Bagaimanapun, tanpa pengetahuan mereka, wanita yang diburu penduduk yang mengesyaki pergerakannya berjaya mendekati kawasan masjid.

"Penduduk yang mengejarnya mengarahkan suspek berhenti untuk diperiksa tetapi secara tiba-tiba dia meletupkan diri ketika berada di dalam masjid," kata Ahmed.

Selain itu, beliau berkata, pada masa sama, tiga lagi pengebom nekad wanita berjaya dikesan di Maiduguri.

Namun, katanya, dua daripada pengebom nekad itu berjaya dibunuh di kawasan Mammanti ketika cuba masuk ke kawasan bandar, manakala seorang lagi meletupkan diri di kawasan pinggir bandar Simari. - AFP

681 dibaca
Berita Harian X