Rabu, 18 April 2018 | 10:20pm
ANTARA bahan yang diperlukan untuk menghasilkan Serunding Lumek Salai. - Foto NSTP

Inovasi lumek salai jana pendapatan

KUCHING: Ikan lumek sama ada segar atau yang disalai sememangnya kurang dikenali masyarakat luar Sarawak, walaupun agak popular di pasar negeri itu khususnya di Demak Laut, di sini.

Walaupun fizikalnya dianggap pelik dengan gigi panjang dan tajam serta rahang yang besar, ikan lumek atau turut dikenali ikan lumi memiliki isi yang lembut dan manis, sesuai sekali jika digoreng atau dibuat sup.

Atas sebab itu, tercetus idea sekumpulan pensyarah Kolej Komuniti Kuching (KKK) untuk menghasilkan inovasi serunding berasaskan lumek salai, dengan kerjasama pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), Didi Iswandi Abdol Rasit, 38.

Pensyarah KKK yang juga penyelidik produk berkenaan, Norshafiza Zakaria, berkata penghasilan serunding menggunakan lumek salai jauh lebih mudah dan cepat, berbanding proses penghasilan serunding biasa yang mengambil masa enam jam.

"Serunding Lumek Salai hanya memerlukan masa 45 minit untuk dihasilkan dan ini memberi kelebihan kerana boleh membantu meningkatkan pengeluaran, mengurangkan kos pengeluaran serta menjimatkan masa penghasilan.


IKAN lumek yang disalai sebelum dipasarkan. - Foto NSTP

"Saya yakin inovasi ini secara tidak langsung dapat membantu menaikkan taraf ekonomi penduduk setempat yang menghasilkan ikan lumek salai ini," katanya.

Selain Norshafiza, produk berkenaan turut dihasilkan bersama dua lagi Pensyarah KKK iaitu Nurul Dafiqah Kamarulzaman dan Shafrine Mohamad Morshidi.

Norshafiza mengakui lambakan ikan lumek salai berlaku kerana tidak dikomersialkan secara berkesan, selain atas faktor penerimaan ikan terbabit dalam kalangan masyarakat.

Berdasarkan itu, mereka melihat peluang dan ruang untuk mengkomersialkan produk berkenaan.

Komersialkan produk berasaskan lumek salai

Selain serunding lumek salai, kumpulan penyelidik itu juga mengkomersialkan sambal lumek salai, mini popia inti serunding lumek salai dan crunchy lumek salai, yang semuanya menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Lebih membanggakan inovasi diusahakan juga memenangi pertandingan Akar Umbi Magris 2017 anjuran Yayasan Inovasi Malaysia dengan menerima geran sebanyak RM70,000 untuk pembangunan produk.

Norshafiza berkata, produk terbabit sudah dipasarkan secara dalam talian melalui Facebook, Instagram dan 11'street dengan kerjasama usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.


GAMBAR kiri; IKAN lumek sama ada yang segar atau salai hanya dikenali dalam kalangan warga tempatan Sarawak sahaja. Gambar kanan; SERUNDING Lumek Salai yang siap dibungkus hasil inovasi sekumpulan pensyarah Kolej Komuniti Kuching dan seorang pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS). - Foto NSTP

Selain itu, ia juga memasuki beberapa kedai sekitar daerah ini, dengan pihaknya giat mendapatkan pensijilan antaranya Pensijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) dan kelulusan logo produk buatan Malaysia bagi memperkukuhkan lagi produk ini untuk dieksport ke luar negara.

Inovasi serunding lumek salai sudah tersenarai dalam saringan pencalonan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) Commercialization Year (MCY) 2018 bersama sembilan lagi produk inovasi di bawah Yayasan Inovasi Malaysia.

Sehubungan itu, Norshafiza berharap produk berkenaan dapat dikomersialkan ke peringkat antarabangsa, di samping membantu menjana pendapatan penduduk tempatan terutamanya golongan nelayan dan suri rumah.

INFO

Serunding Lumek Salai

  • Inovasi mewakili Sarawak ke Malaysia International Halal Showcase 2018 di MITEC di Kuala Lumpur baru-baru ini./li>

  • Tersenarai dalam saringan pencalonan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) Commercialization Year (MCY) 2018/li>

  • Memenangi pertandingan Akar Umbi Magris 2017 anjuran Yayasan Inovasi Malaysia

  • Geran RM70,000 diterima untuk pembangunan produk
Berita Harian X