Isnin, 19 March 2018 | 10:47am
KETUA Pegawai Eksekutif Costa Coffe Malaysia, Irfan hamid Abdul Hamid dan Nor Izzati Mohamad Salim. - Foto Mahzir Mat Isa

Gapurna Permai labur RM52j

KUALA LUMPUR: Gapurna Permai Sdn Bhd bercadang melabur RM52 juta dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mengembangkan perniagaan francais Costa Coffee di Malaysia.

Pengarahnya, Nor Izzati Mohamad Salim, berkata syarikat menyasar untuk membuka sehingga 65 kafe dan kios dalam tempoh lima tahun mengendalikan perniagaan itu.

Sekurang-kurangnya 70 peratus daripada cawangan berkenaan adalah dalam format kios, manakala 30 peratus adalah kafe, katanya kepada NSTP.

Nor Izzati berkata, syarikat akan memberikan tumpuan untuk membuka kios dan kafe di beberapa hab pengangkutan awam, gedung beli belah, universiti, hospital dan hab korporat, dengan menyasarkan pasaran meluas.

"Kami bercadang membuka cawangan khususnya di Lembah Klang. Selepas lima tahun, kami merancang menambah jumlahnya di luar Lembah Klang. Kami menyasarkan Pulau Pinang dan Johor.

"Kami agak yakin dengan perniagaan ini. Saya merasakan inilah pasaran terbaik untuk diceburi. Pasaran makanan dan minuman (F&B) di Malaysia masih bagus, di sebalik persekitaran pasaran semasa," katanya.

Gapurna Permai baru-baru ini memeterai perjanjian terma induk bersama Costa Coffee PLC yang berpangkalan di United Kingdom (UK) untuk melantik syarikat itu sebagai francaisi induk rangkaian kopi itu di Malaysia.

Syarikat itu memenangi tender melalui proses bidaan kompetitif membabitkan beberapa lagi syarikat tempatan.

Costa Coffee adalah kedai kopi pilihan di UK, memenangi "Rangkaian Kedai Kopi Berjenama Terbaik di UK dan Ireland" oleh Allegra Strategies selama lapan tahun berturut-turut dari 2010 hingga 2017.

Diasaskan di London oleh adik beradik warga Itali, Sergio dan Bruno Costa pada 1971 sebagai pemborong yang membekalkan kopi dipanggang ke kedai kopi Itali, Costa Cofee menjadi rangkaian kedai kopi pilihan UK serta mempelbagaikan perniagaannya ke pasaran layan diri serta produk di rumah.

Costa Coffee ketika ini beroperasi di 31 negara dengan lebih 3,300 cawangan (2,100 cawangan di UK) dan 6,000 kemudahan mesin layan diri Costa Express.

Di negara ini, Shell Malaysia mengendalikan perniagaan mesin layan diri Costa Express. Dalam tempoh kurang dua tahun, ia mempunyai kira-kira 160 mesin kopi layan diri di stesen minyak Shell seluruh negara.

Nor Izzati berkata, Gapurna Permai merancang untuk membuka antara enam dan 10 kios serta kafe bermula September ini.

"Kami sedang mengkaji pelbagai lokasi dan sedang berbincang dengan beberapa operator dan pemilik bangunan," katanya sambil menambah syarikat mengunjurkan pertumbuhan dua angka pendapatan dalam tempoh setahun.

"Kami akan mengukhususkan makanan mengikut permintaan dan lokasi tempatan. Kami sudah pasti tidak akan menjadikan kopinya premium. Kami akan menawarkan harga dan pengalaman yang kompetitif," katanya.

519 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »