Rabu, 14 March 2018 | 9:04pm
HALIZA menunjukkan sebahagian produk sneknya ketika ditemui pada majlis pelepasan penghantaran eksport produk itu ke Bahrain di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Amir Irsyad Omar

Snek jagung Haliza Industries ke Bahrain

BUKIT MERTAJAM: Syarikat pengeluar makanan ringan, Haliza Industries Sdn Bhd mencatat kejayaan apabila lima kontena snek perisa jagung berjenama Bingo Bite keluarannya yang bernilai RM2.5 juta (AS$630,000), dapat menembusi pasaran Bahrain.

Pengarah Urusannya, Datin Haliza Hussein, berkata ini susulan penyertaan syarikat dalam program Bahagian Antarabangsa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke Pameran Perdagangan Gulfood Dubai 2018 di Dubai pada 18 hingga 22 Februari lalu.

FAMA membawa lima syarikat termasuk Haliza Industries Sdn Bhd yang juga salah satu syarikat di bawah penjenamaan Seri Pinang.

"Kami amat bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan kerajaan selain agensi di Pulau Pinang.

"Apa yang saya lihat, walaupun bukan kilang besar, produk keluaran Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) boleh mendapat tempahan banyak jika menepati kualiti dan piawaian di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan penghantaran eksport produk itu ke Bahrain di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Fokus Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad.

Mengimbas detik permulaan perniagaan itu, Haliza berkata usaha yang dimulakan pada 2008 adalah bermodalkan RM370,000.

Ini membawa kejayaan termasuk meraih nilai jualan pasaran luar sebanyak RM1.9 juta pada tahun lalu.

Berikutan itu, syarikat berkenaan menyasarkan jualan eksportnya mencecah RM39 juta bagi tahun ini susulan tempahan Bahrain serta China, Brunei Darussalam, Singapura serta Arab Saudi.

"Kami memasarkan produk ini ke China sejak tahun 2014 yang mendapat permintaan tertinggi dengan mencecah tujuh kontena setakat ini.

"Ini menyebabkan kami membuka gudang di Shanghai pada Disember tahun lalu bagi menampung permintaan selain dipasarkan di 700 buah pasar raya negara itu," katanya.

Haliza optimis dengan prospek syarikatnya dan menyasarkan untuk melebarkan usaha itu ke pasaran lain seperti Kanada dan Australia.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Antarabangsa FAMA, Datuk Nazipah Jamaludin berkata usaha Haliza Industries Sdn Bhd wajar dicontohi oleh usahawan lain untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, nilai eksport produk makanan Malaysia setakat November 2017 adalah RM37 bilion. - BERNAMA

590 dibaca
Berita Harian X