Rabu, 14 March 2018 | 7:04pm

Program TERAS bantu BzBee kembang platform

KUALA LUMPUR: BzBee Consult Sdn Bhd memperluaskan perkhidmatannya dengan menawarkan perhubungan serta pemasaran bersepadu yang merangkumi pengurusan acara, penjenamaan, perkhidmatan dalam talian, media sosial, kerja kreatif dan pengiklanan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata ia juga akan terbabit dalam usaha lain dengan penubuhan Batique, Baybees dan Todds, MyVelotas termasuk inisiatif Balairong bagi memajukan warisan Kemelayuan.

"bzBee juga menyediakan perkhidmatan latihan dan nasihat kepada syarikat pemula niaga Bumiputera serta pelajar kolej dan universiti, kedua-duanya sebagai tanggungjawab korporat.

"Purata pengembangan kami adalah sebanyak 18 peratus pertumbuhan tahunan dalam pendapatan. Kebanyakan kejayaan kami boleh dikaitkan dengan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) yang diketuai oleh Unit Pemandu Agenda Bumiputera (TERAJU)," katanya.

Pengarah Urusan bzBee, Said Bani C.M. Din, berkata syarikat itu dipilih sebagai syarikat TERAS pada 2012 dan ini menyediakan platform dan peluang untuk bzBee berkembang.

"Ekosistem sokongan dan nasihat daripada TERAJU adalah penting dalam meningkatkan potensi bzBee," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh, berkata program TERAS disasarkan bagi meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera dalam ekonomi Malaysia dengan membolehkan mereka untuk meningkatkan, mempercepatkan pertumbuhan dan bersaing di pasaran terbuka berdasarkan merit.

"Matlamat utama supaya syarikat yang disokong oleh program ini mampu menyumbang secara positif kepada keluaran dalam negara kasar serta mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.

"Kami gembira melihat kisah kejayaan dalam bzBee Consult yang mendapat manfaat daripada program ini seperti yang dibuktikan melalui pertumbuhan dan perkembangan syarikat yang berterusan selama ini," katanya.

TERAJU mencatatkan penciptaan nilai sebanyak RM124.6 bilion bagi Bumiputera, menjana lebih 44,000 pekerjaan, memberikan bantuan bernilai RM14.44 bilion dalam pelaburan swasta melalui dana pemudahannya dan mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM10.1 bilion daripada penyenaraian syarikat Bumiputera yang baru muncul di Bursa Malaysia.

-BERNAMA

210 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »