Selasa, 6 Februari 2018 | 11:11am

FIM 2018 sasar pelaburan RM370 juta

PUTRAJAYA: Persatuan Francais Malaysia (MFA) menjangkakan nilai pelaburan francais mencecah RM370 juta pada Francais Malaysia (FIM) 2018 yang akan berlangsung pada 22 hingga 22 April ini.

Pengerusinya, Datuk Radzali Hassan, berkata sehingga kini hampir 70 peratus ruang pameran sudah diisi oleh lebih 70 peratus syarikat francais tempatan.

"FIM 2018 juga akan disertai 30 peratus syarikat asing termasuk francaisi dan francaisor induk dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Filipina.

"Kami menjangkakan pameran selama tiga hari yang berlangsung di Kuala Lumpur akan menarik lebih 10,000 pengunjung termasuk dari luar negara," katanya dalam ucapan sempena pra-pelancaran FIM 2018 di sini, hari ini.

Majlis pra-perlancaran FIM 2018 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong.

FIM 2018 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

124 dibaca
Berita Harian X