;
Khamis, 18 Januari 2018 | 7:24pm
DATUK Ahmad Maslan (tengah) menandatangani pada plak sebagai perasmian majlis Pembukaan Rasmi Pusat 3S Yusmanida Auto Sdn Bhd Saujana Utama, Sungai Buloh. - Foto Aswadi Alias

MIDF sasar lulus pembiayaan RM200 juta

SUNGAI BULOH: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dijangka meluluskan pembiayaan berjumlah RM200 juta kepada 120 syarikat perkhidmatan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, berkata dana itu diperuntukkan menerusi Skim Pembiayaan Mudah Automasi dan Modenisasi (SLSAM), Skim Pembiayaan Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (SLSME), Skim Pembiayaan Mudah Peningkatan Kapasiti Sektor Perkhidmatan (SLSCD), Skim Pembiayaan Mudah Sektor Perkhidmatan (SLSSS), dan Skim Pembiayaan Mudah Pengeksportan Perkhidmatan (SLSSE).

"Skim pembiayaan mudah ini menyediakan kadar keuntungan kewangan terendah kepada empat peratus setiap tahun bagi mengurangkan baki tahunan bagi PKS, manakala lima peratus bagi syarikat bukan PKS.

"MIDF ditubuhkan untuk membantu ekonomi negara dengan memperuntukkan bantuan kewangan kepada sektor swasta, dan pembangunan kewangan adalah teras bagi agensi ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat 3S PERODUA, Yusmanida Auto Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Urusan Yusmanida Auto Sdn Bhd, Sarizal Yusman Yusoff.

Sejak penubuhannya, MIDF sudah memperuntukkan sebanyak RM3.5 bilion yang memberi manfaat kepada 2,159 syarikat perkhidmatan di negara.

Sementara itu, Yusmanida Auto membuka pusat 3S PERODUA baharu di Saujana Utama, dekat sini bagi menyediakan keperluan jualan, perkhidmatan dan alat ganti kepada pelanggan.

Aminar Rashid berkata, cawangan itu dibina dengan keluasan 3,657.6 meter persegi (16,000 kaki persegi) di atas kawasan seluas 13,716 meter persegi (45,000 kaki persegi) dan akan dikendalikan seramai 65 pekerja, termasuk 30 penasihat jualan dan 12 penasihat servis.

"Yusmanida Auto sudah menjadi wakil jualan sah PERODUA sejak 2003, yang mana sebelum ini hanya mengendalikan cawangan jualan di Jalan Meru, Klang.

"Pusat servis ini mampu menyelenggara enam kereta pada satu masa serta mempunyai tempat menunggu yang luas, perpustakaan mini, serta tempat mainan untuk kanak-kanak," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kos projek Pusat 3S oleh Yusmanida Auto itu dianggarkan RM11 juta dan syarikat itu turut mendapat bantuan dana daripada MIDF sebanyak RM6.5 juta, masing-masing RM3.5 juta untuk pembelian tanah dan RM3 juta untuk kos pembinaan.

"PERODUA kini mempunyai 186 cawangan jualan dan 183 cawangan servis serta 24 cawangan Body and Paint di seluruh Malaysia," katanya.

297 dibaca
Berita Harian X