Jumaat, 20 Oktober 2017 | 6:13pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Usahawan muda digesa lebih berinovasi

KUALA LUMPUR: Usahawan muda digesa lebih berinovasi dalam mengetengahkan idea dan produk mereka untuk mengembangkan industri kasut tempatan bersaing dalam pasaran antarabangsa.

Pada masa sama, industri kasut Malaysia juga perlu berubah daripada pengeluar peralatan tulen (OEM) kepada pengeluar rekaan tulen (ODM) atau pengeluar jenama tulen (OBM).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata industri berkenaan mempunyai potensi besar untuk berkembang dan peluang berkenaan sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh usahawan tempatan terutama daripada kalangan generasi muda.

"Pada ketika ini, Malaysia juga dikenali sebagai hab OEM bagi jenama antarabangsa seperti Nike dan Puma.

"Justeru, untuk meningkatkan rantaian nilai, syarikat Malaysia perlu menambah nilai dan mengukuhkan keupayaan industri tempatan serta menyertai pasaran antarabangsa," katanya pada pelancaran rangkaian produk kasut berjenama 'Nottingheels Spring Summer 2018' di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengarah NTH Global Sdn Bhd, Amy Chiew.

Wan Latiff berkata, perubahan yang dilakukan itu penting dalam memastikan pengeluar kasut tempatan kekal kompetitif untuk bersaing dengan jenama lain di peringkat antarabangsa.

Katanya, eksport industri kasut Malaysia pada 2016 berjumlah RM715.5 juta, meningkat 22.4 peratus berbanding RM584.7 juta pada 2015.

"Peningkatan berkenaan mencerminkan industri kasut negara berkembang dengan pantas.

"Eksport utama termasuk kasut dengan tapak luar/'upper' getah, plastik dan kulit bernilai RM175.1 juta dan kasut sukan dengan tapak luar getah/plastik bernilai RM77.6 juta," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Bajet 2018, beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan akan menyediakan sejumlah peruntukan bagi menggerakkan promosi eksport dalam meningkatkan lagi prestasi eksport pada masa depan.

"Pada masa sama, menerusi peruntukan berkenaan ia juga diharap dapat membantu usahawan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi," katanya.

296 dibaca
Berita Harian X