Rabu, 11 Oktober 2017 | 8:59pm
TAN Sri Mohd Ali Rustam.- Foto Khairunisah Lokman

PUNB sedia RM1 juta wujudkan 100 usahawan muda di IPT tahun ini

MELAKA: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyediakan RM1 juta untuk mewujudkan 100 usahawan muda di institut pengajian tinggi (IPT) melalui program Budding PUMA, tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, program keusahawanan yang mensasarkan penuntut sepenuh masa berumur kurang 30 tahun itu telah menerima lapan permohonan setakat ini, dan dua daripadanya telah diluluskan.

"Justeru, saya menyeru supaya generasi muda mengambil peluang memohon Budding Puma dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung skim ini menerusi laman web punb.com.my, (selain) bagi memuat turun borang," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Usahawan Muda Bumiputera di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Simposium itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Azhar Ahmad, anggota Lembaga Pengarah PUNB Datuk Jamelah A Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman.

Mohd Ali berkata, program keusahawanan terbabit menawarkan pembiayaan Islam daripada RM1,000 sehingga RM10,000 dengan mengenakan margin keuntungan secara tetap sebanyak dua peratus setahun, bagaimanapun penuntut semester akhir tidak layak memohon.

Beliau berkata, antara bidang perniagaan yang ditawarkan dalam program itu termasuk penjagaan kesihatan, perdagangan, perniagaan trak saji, fesyen dan gaya hidup, e-dagang, pendidikan, makanan dan minuman, dan seni kreatif.

PUNB turut menjalin kerjasama dengan SME Bank dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bagi merancakkan lagi usaha pembangunan usahawan muda menerusi skim berkenaan, katanya.

"Saya berharap kerjasama itu akan berjalan secara produktif dalam membantu membangunkan usahawan muda secara aktif dan tersusun.

"Secara tidak langsung, pihak kolej dan universiti boleh menggunakan kepakaran PUNB sebagai sumber rujukan mereka mengenai perkara berkaitan keusahawanan dan perniagaan," katanya. - BERNAMA

296 dibaca
Berita Harian X