Jumaat, 8 September 2017 | 7:55pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) merasmikan Karnival Usahawan Digital Terbesar 2017 Fiesta Getthiss.com anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner (dua dari kanan). - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bergambar bersama peserta yang hadir pada Karnival Usahawan Digital Terbesar 2017 Fiesta Getthiss.com anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA peserta yang hadir pada Karnival Usahawan Digital Terbesar 2017 Fiesta Getthiss.com anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

57,000 usahawan baharu daftar SSM

AYER KEROH: Lebih 57,000 usahawan baharu mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga 31 Ogos lalu, sekali gus membuktikan kepentingan dalam pengembangan perniagaan secara atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner, berkata jumlah itu membabitkan lebih 44,360 pendaftaran bagi pelbagai produk dalam talian, manakala selebihnya adalah perniagaan lelongan dalam talian.

"SSM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menganjurkan program seperti karnival sebagai platform menggalakkan orang ramai khususnya usahawan berdaftar dan pada masa yang sama, pendaftaran secara atas talian terus meningkat.

"Jika diperhatikan, peningkatan pendaftaran atas talian lebih cepat kerana kita boleh mengesan peniaga atas talian ini menerusi kod syarikat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui BH pada Karnival Usahawan Digital Terbesar 2017 Fiesta Getthiss.com anjuran Getthiss Innovation Sdn Bhd dengan kerjasama SSM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang tadi.

Karnival itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Karnival berkenaan mengenengahkan 90 tapak pameran dan gerai jualan produk halal selain turut menampilkan slot taklimat perniagaan atas talian, acara hiburan oleh artis terkenal tanah air, auto-fest dan penyediaan 70 trak makanan atau food truck.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini bertujuan membantu golongan usahawan terutamanya yang berniaga secara dalam talian bagi mengembangkan dan memperkenalkan perniagaan mereka kepada masyarakat.

Sementara itu, peserta karnival, pengasas kopi Gold Leaf Matsui Industries, Mohd Yusof Ismail, 61, berkata penganjuran karnival sebegini amat dialukan bagi golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) berkumpul dan mempromosi produk mereka.

"Jika boleh, banyakkan kali penganjuran seperti ini bagi memberi peluang kepada usahawan mengembangkan perniagaan," katanya yang julung kali menyertai karnival seumpama itu.

587 dibaca
Berita Harian X