Jumaat, 1 September 2017 | 3:50pm
PENGARAH Urusan Z Golden Legacy Sdn Bhd, Mohamad Fadzli Mohamad Nasir, 27, (empat dari kanan) bergsmbar selepas menyampaikan sijil di seminar usahawan untuk menjadi pengedar aiskrim buatan syarikatnya di Sendayan, Seremban. - Foto Mohd Khidir Zakaria
PENGARAH Urusan Z Golden Legacy Sdn Bhd, Mohamad Fadzli Mohamad Nasir, 27, (kiri) sedang memberikan tunjuk ajar cara mengisi aiskrim dalam kon kepada peserta yang hadir di seminar usahawan untuk menjadi pengedar aiskrim buatan syarikatnya di Sendayan, Seremban. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Dulu jual aiskrim, kini ada kilang aiskrim

SEREMBAN: Bermula dengan modal RM300 untuk menjaja aiskrim di depan sekolah lima tahun lalu, Muhammad Fadzli Mohamad Nasir, 27, kini berpuas hati mempunyai kilang aiskrim sendiri di ibu negara.

Menceritakan pengalamannya, Fadzli yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berkata dia mempunyai cita-cita tinggi walaupun pekerjaan dilakukannya ketika itu dipandang rendah segelintir pihak.

"Saya tidak peduli apa orang kata, sebaliknya memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaan. Tidak mahu statik menjaja di depan sekolah semata-mata, saya mencari peluang berniaga di pasar malam dan kenduri kahwin.

"Menyedari potensi bidang itu, setahun kemudian saya melaburkan RM5,000 wang simpanan serta meminjam RM3,000 daripada ibu untuk membeli mesin membuat aiskrim serta kenderaan untuk memudahkan pergerakan," katanya ditemui pada seminar perniagaan aiskrim dianjurkannya di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Z Golden Legacy Sdn Bhd itu berkata, pelaburan berkenaan membuahkan hasil apabila perniagaannya semakin maju, malah dia mampu mengeluarkan lebih banyak aiskrim untuk dibekalkan kepada penjaja lain.

Katanya, selepas empat tahun menjadi pembekal, dia berhasrat membantu golongan muda menceburkan diri dalam bidang jualan aiskrim dengan menyediakan pelan perniagaan yang direka berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Saya kerap menganjurkan seminar perniagaan aiskrim di banyak negeri bagi membuka mata anak muda terhadap produk ini, yang mana mereka boleh menjadi penjual atau pengedar.

"Ramai ejen kami yang bermula sekadar suka-suka atau secara sambilan kemudian meneruskan perniagaan dalam bidang ini kerana memperoleh pendapatan yang lumayan," katanya.

Katanya, aiskrim jenama OneZ keluaran syarikatnya sudah bertapak di Lembah Klang dan dia kini memberi tumpuan untuk mengembangkan pasaran ke Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Sabah.

9113 dibaca
Berita Harian X