Khamis, 3 Ogos 2017 | 3:08pm
PENGARAH Kanan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid. - Foto Aizuddin Saad

Siri Teraju Superb II tarik 800 pemohon

KUALA LUMPUR: Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (Superb) Siri II, pencarian bakat dalam kalangan Bumiputera berbakat usahawan, dengan penyediaan geran sehingga RM500,000 untuk idea kreatif dan inovatif, berjaya menarik 800 permohonan di seluruh negara.

Dianjurkan oleh Unit Pemandu Agenda Bumiputera (TERAJU), program ini menarik penyertaan daripada pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pertanian, pembuatan, ciptaan baharu, makanan dan minuman, elektronik dan elektrik, minyak, gas dan tenaga.

"Superb dirancang khusus untuk membantu individu atau syarikat baharu untuk membangunkan dan mengubah ilham, idea, atau penemuan baharu kepada model perniagaan yang berjaya," kata Pengarah Kanan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Geran itu adalah antara peruntukan terbesar yang pernah ditawarkan untuk membantu memacu bakat Bumiputera dalam meneroka perniagaan besar.

Megat Mohd Yatim berkata, ramai kalangan usahawan muda berjaya selepas mengetengahkan idea mereka, malah berjaya memasuki pasaran eksport antarabangsa, mengukir nama jenama produk barangan Malaysia.

Beliau berkata, setakat ini, 137 usahawan muda telah menerima geran permulaan kira-kira RM68.5 juta sejak Superb diperkenalkan pada 2014.

Jawatankuasa Teraju yang terdiri daripada usahawan yang berjaya akan memilih penerima yang layak dalam tempoh empat hingga enam minggu, dan pengumuman akan dibuat sebelum akhir suku ketiga tahun ini.

Siri Superb 111 dibuka pada September depan. - BERNAMA

Berita Harian X