Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:35pm
Galaxy A9

Galaxy A9 tampil dengan kamera quad 24 MP pertama di dunia

KUALA LUMPUR: Samsung, jenama telefon pintar terkemuka dunia memperkenalkan model terbaharu daripada siri Galaxy A dikenali sebagai A9 dengan kamera quad 24 megapiksel (MP) pertama di dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian IT dan Komunikasi Mudah Alih Samsung, DJ Koh, berkata dengan kelebihan empat kamera belakang dalam satu telefon pintar, ia menjadikan A9 sebagai model yang lebih dinamik, sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih kreatif kepada pengguna.

Beliau berkata, antara ciri yang ditampilkan dalam kamera kuad siri Galaxy A9 itu termasuklah dua kali zum optikal bagi gambar yang lebih tajam dan jelas walaupun diambil dari jarak jauh.

Selain itu, katanya, menjadikan kamera itu lebih luar biasa, ia mempunyai fungsi lensa sudut lebar serta Scene Optimizer yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) pengesanan pemandangan.

“Dengan teknologi dan inovasi terbaru yang diperkenalkan dalam Galaxy A9, kamera kini lebih pintar dan mampu mengesan subjek serta membuat ketetapan bagi menghasilkan gambar terbaik dengan pantas.

“Malah, fungsi Depth Lens membolehkan pengguna mengendalikan koleksi gambar secara sendiri dengan ciri tambahan seperti fokus kepada subjek untuk kelihatan seperti jurugambar profesional.

“Sebagai peneraju global dalam inovasi telefon pintar, kami memahami kepentingan terhadap permintaan bagi telefon seumpama ini,” katanya pada acara pengenalan telefon pintar itu di sini, hari ini.

Selain Galaxy A9, acara berkenaan turut menampilkan siri A7 yang juga dilengkapi ciri kamera dan pengimbas cap jari yang mana kedua-dua model itu akan mula berada di pasaran pada November depan.

Mengulas mengenai ciri dalaman A9, Koh berkata, model berkenaan mempunyai ketahanan bateri 3,800mAh dan memberikan prestasi penggunaan yang lebih lancar sepanjang hari.

Menurutnya, pengguna juga tidak perlu bimbang mengenai ruang simpanan kerana ia dilengkapi dengan storan dalaman sehingga 128GB dengan kad memori tambahan sebanyak 512GB.

“Model ini juga direka dengan fungsi yang lebih mudah untuk digunakan terutamanya dengan aplikasi dalaman Samsung Bixby, Samsung Pay dan Samsung Health yang menjadikan ia pelbagai guna selain menyediakan App Pair,” katanya.

Galaxy A9 boleh didapati dalam tiga warna yang unik seperti Caviar Black, Lemonade Blue dan Bubblegum Pink dengan rekaan yang ergonomik serta gelas belakang melengkung dengan ciri 3D.

724 dibaca
Berita Harian X