Rabu, 10 Oktober 2018 | 11:23pm
KETUA Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali (dua dari kanan) hadir pada majlis pelancaran rasmi Nightstream di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Sasar 1 juta muat turun aplikasi permainan Nightstream

KUALA LUMPUR: Media Prima Labs yang menjalinkan kerjasama dengan Streamline Games, mensasarkan sebanyak satu juta muat turun bagi aplikasi permainan terbarunya, Nightstream.

Berbeza daripada Temple Run dan Subway Surfers, permainan larian generasi akan datang ini tidak terhad kepada lorong tetapi merentas dinding dan juga siling.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali, berkata pihaknya tidak menetapkan jangka masa tertentu bagi mencapai sasaran terbabit, namun yakin aplikasi permainan telefon pintar itu mampu mencapainya.

“Kami teruja bekerjasama dengan Streamline Games kerana mereka adalah syarikat bertaraf AAA dengan rekod perjalanan yang menakjubkan dalam pembangunan permainan video.

“Streamline Games memberi tumpuan kepada membangunkan permainan ini, manakala Media Prima Digital menggunakan kekuatan kami sebagai syarikat media bersepadu terbesar di Malaysia untuk mempromosi Nightstream dalam pasaran serta mengulangi kejayaan produk kami seperti Ejen Ali dan Mak Cun’s Adventure.

“Walaupun tiada jangka masa tertentu ditetapkan, kami sangat yakin Nightstream mampu mencapai satu juta muat turun,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi Nightstream di sini, hari ini.

Streamline Games pernah menyumbang dalam beberapa permainan popular seperti Final Fantasy XV, Street Fighter V dan BioShock Infinite.

Rafiq berkata, sebagai syarikat yang berpusat di Malaysia, kerjasama dengan Streamline Studios mampu membantu pakar permainan tempatan dan industri itu sendiri.

Sejak dikeluarkan pada 15 September lalu, Nightstream sudah berjaya mencatatkan sebanyak 6,000 muat turun sehingga hari ini.

Permainan itu membabitkan beberapa pelari dalam pasukan penentang, tekad melawan kejahatan Metronite Corporation yang mahu mengawal Nightstream, iaitu satu saluran data misteri, untuk diri mereka sendiri.

Pasukan penentang Nightstream terdiri daripada Zara, seorang wanita muda Hijabista, juga barista sambilan dan pelari sepenuh masa yang mahu menegakkan keadilan terhadap Metronite selepas satu kemalangan industri mengorbankan nyawa adiknya.

Zara mungkin kelihatan keras kepala dan degil, namun pelari lain akan dapat melihat sisi dirinya yang lembut dan kurang serius.

Lebih banyak karakter lain akan muncul dalam beberapa bulan akan datang dan pemain perlu menunggu untuk kemas kini seterusnya.

Sementara itu, Penerbit Bersekutu Nightstream, Izzal Imaani berkata, aplikasi itu menepati minat penggemar permainan telefon pintar.

“Saya teruja untuk melihat pandangan rakyat Malaysia terhadap permainan ini. Kami amat teliti terhadap aspek pengendalian permainan ini dan harap pemain akan menikmatinya.

“Bukan mudah untuk menetapkan pengendalian permainan ini, khususnya membabitkan tindak balas kawalan dan penambahan kuasa, tetapi kami memastikan hasilnya sempurna,” katanya.

Nightstream boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store dan Google Play.

135 dibaca
Berita Harian X