Rabu, 2 Mei 2018 | 4:27pm
Pengarah Urusan LG Electronics Malaysia Kim Kyutae (kiri), dan Pengurus Produk LG, Kyung Sik Kim menunjukkan produk baharu mesin basuh LG, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Produk premium lonjak jualan LG

PETALING JAYA: LG Electronics (M) Sdn Bhd yakin mencatatkan prestasi perniagaan lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu dengan sasaran pertumbuhan jualan dua angka dipacu oleh segmen produk premium.

Pengarah Urusannya, Kim Kyutae, berkata syarikat mengambil langkah untuk mengubah strategi perniagaan dengan fokus secara agresif kepada segmen terbabit bagi memenuhi keperluan unik dan permintaan dalam kalangan pelanggan.

"Kami mampu mencapai pertumbuhan jualan itu kerana kami menawarkan siri produk inovatif bagi tahun ini dengan ciri-ciri teknologi canggih dan unik pertama seumpamanya berbanding jenama pesaing lain," katanya pada majlis pengenalan produk LG bagi 2018 di sini, hari ini.

Ia menyaksikan LG memperkenalkan siri televisyen diod pemancar cahaya organik (OLED TV) baru yang memiliki ciri Intelligent Processor yang boleh mengurangkan gangguan pada imej, ketajaman, peningkatan kedalaman dan pengeluaran semula warna.

LG juga memperkenalkan mesin basuh TwinWash yang membolehkan dua bebanan cucian dicuci serentak dan peti sejuk InstaView Door-in-Door dengan ciri 'knock-on' yang membolehkan pengguna memeriksa barangan di dalam peti sejuk tanpa perlu membuka pintu.

Selain itu, jenama perkakasan elektrik dan elektronik Korea Selatan itu turut memperkenalkan penyaman udara LG DualCool dengan Dual Inverter Compressor dan R32 Refrigerant yang mampu meningkatkan prestasi penyejukan pantas serta mesra alam.

Kyutae berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan inovasi terhadap produknya bagi memastikan ia memenuhi keperluan unik pelanggan dan ia terbukti apabila LG menjadi penerima bagi 17 Anugerah Inovasi CES 2018 dalam pelbagai kategori termasuk Hiburan dan Perkakasan Rumah.

Menurutnya, syarikat kini boleh memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan melalui siri OLED dan Definisi Tinggi Ultra (UHD) terkini dan pelbagai teknologi kualiti tinggi lain sekali gus membolehkan pelanggan menikmati kehidupan lebih baik yang menjimatkan tenaga, masa dan lebih selesa.

"Semua produk baharu itu akan diperkenalkan secara beperingkat bermula bulan ini kerana syarikat masih mengenal pasti beberapa strategi pemasaran," katanya.

174 dibaca
Berita Harian X