Khamis, 26 April 2018 | 3:27pm
KETUA Pemasaran (Prabayar dan Pascabayar) Celcom Axiata, Daren Victor (kiri) bersama Azwan Khan dan pengurusan kanan Celcom Axiata pada majlis pelancaran Celcom Home Wireless di KL Convention Centre. - NSTP/ROSELA ISMAIL

Celcom Home Wireless serendah RM74.20 sebulan

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd memperkenalkan Celcom Home Wireless, perkhidmatan jalur lebar dengan rangkaian 4G Celcom sebagai penyelesaian internet kediaman terbaik pada harga serendah RM74.20 sebulan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaannya, Azwan Khan Osman Khan, berkata Celcom terus fokus untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan memberi pengalaman internet yang hebat.

Katanya, pengguna boleh melanggan Celcom Home Wireless selama 24 bulan tanpa caj tambahan dan nikmati sambungan internet sehingga 64 peranti.

"Banyak kediaman di Malaysia masih belum mempunyai akses pada internet berkelajuan tinggi dan ini adalah pakej data terbesar yang ditawarkan melalui rangkaian 4G kami kepada rakyat Malaysia.

"Celcom Home Wireless ditawarkan pada harga berpatutan bersama ciri jalur lebar pasang dan pakai dengan data yang mewah," katanya pada sidang media di majlis pelancaran Celcom Home Wireless di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemasaran Prabayar dan Pascabayarnya, Daren Victor.

Celcom Home Wireless mudah digunakan sehingga boleh dipasang dan digunakan oleh kanak-kanak dalam beberapa minit untuk menikmati hubungan internet dengan kelajuan purata 30Mbps.

Azwan Khan berkata, pengguna juga boleh menikmati aktiviti kegemaran mereka secara digital di rumah tanpa perlu risau kehabisan kuota.

Celcom Home Wireless yang kini ditawarkan di beberapa lokasi utama, direka unik untuk digunakan dalam kediaman dan dipermudahkan ciri modem pasang dan pakai tanpa perlu pemasangan fiber di kawasan rumah pengguna.

Celcom Home Wireless boleh didapati secara eksklusif di pameran Homedec KLCC mulai 26 hingga 29 April 2018 dan pengunjung berpeluang memenangi langganan Celcom Home Wireless Gold dan Platinum secara percuma selama setahun.

Pengguna boleh mendaftar sama ada Home Wireless Gold Plus pada RM74.20 (25GB+40GB Walla), Home Wireless Gold Plus pada RM106 (50GB +100GB Walla) atau Home Wireless Platinum RM159 (150GB +1TB Walla).

1903 dibaca
Berita Harian X