Rabu, 14 March 2018 | 5:19pm
TAKUMA Sawada ketika memberikan taklimat pada lawatan media sempena sambutan ke-100 Panasonic di Shiodome City Center, Tokyo.

Malaysia pasaran penting Panasonic di Asia Pasifik

TOKYO: Panasonic Corporation (Panasonic) mengekalkan Malaysia sebagai pasaran penting bagi perniagaan penyaman udara di rantau Asia Pasifik bersandarkan kepada pengukuhan pengeluaran dan penjualan produk itu.

Pengarah Pusat Pemasaran Penghawa Dingin Syarikat Perkakasan Panasonic, Takuma Sawada berkata, Asia Pasifik adalah rangkaian pasaran yang mampu memberikan pertumbuhan positif bagi perniagaan penyaman udara, khususnya Malaysia.

Beliau berkata, Panasonic adalah jenama nombor satu di Malaysia berbanding jenama penyaman udara lain yang mana ia mengungguli 34 peratus penguasaan pasaran membuktikannya sebagai pilihan utama pembeli.

"Penguasaan produk penyaman udara Panasonic sudah lama bertapak di Malaysia sejak 1972 dan ia terus berkembang pesat sehinggalah ke hari ini.

"Kami sentiasa menawarkan produk yang menepati kehendak pelanggan di samping kualiti tinggi serta teknologi baharu yang seiring dengan keperluan masa kini.

"Apa yang penting, kami mendengar apa saja maklum balas yang diterima seterusnya memperbaiki dan menyampaikan perkhidmatan dan produk terbaik kepada pelanggan," katanya pada sidang media sempena sambutan Panasonic ke-100 tahun di sini, baru-baru ini.

Panasonic yang berpangkalan di Jepun, menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-100 pada tahun ini dan empayar elektronik itu kini mempunyai 496 syarikat dan kehadiran di seluruh dunia.

Selain itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun lalu, Panasonic berjaya merekodkan jualan bersih sebanyak 7.34 trilion yen (RM271.07 bilion), sekali gus membuktikan syarikat itu terus kekal berdaya maju dan relevan dalam pasaran semasa.

Sementara itu, mengenai unjuran pertumbuhan perniagaan penyaman udara global pada 2018, Sawada berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan jualan lebih 20 peratus bagi segmen terbabit.

Menurutnya, pada tahun lalu, perniagaan penyaman udara global mencapai jualan memberangsangkan iaitu 495 bilion yen (RM18.28 bilion) dan yakin ia akan menunjukkan trend meningkat pada tahun ini.

"Kami mempunyai 12 pusat pengeluaran dan kilang serta 24 pangkalan latihan untuk kejuruteraan di beberapa negara yang mana produk penyaman udara Panasonic dieksport ke 120 negara," katanya.

Menurutnya, memandangkan Malaysia adalah pusat perniagaan penyaman udara terpenting, Panasonic mempunyai dua kilang pengeluaran dengan kapasiti pengeluaran sehingga 3.5 juta set setahun khusus untuk menghasilkan penyaman udara pengguna dan komersial dan satu pusat latihan di Shah Alam, Selangor.

311 dibaca
Berita Harian X