Jumaat, 19 Januari 2018 | 5:40pm
KETUA Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton. - Foto Nurul Shafina Jemenon.

Rangkaian 5G beri manfaat operator tempatan: Ericsson

mahpar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ericsson menjangkakan rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) menyumbang lebih 24 peratus atau AS$3.1 bilion (RM12.2 bilion) kepada pendapatan operator di Malaysia menjelang 2026.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton, berkata syarikat menjangkakan pertumbuhan tiga kali ganda dalam langganan mudah alih LTE/5G antara 2017 hingga 2023, dengan lebih 70 peratus langganan di Malaysia menjelang 2023.

"Pertumbuhan yang ketara dalam pengagihan pelan data pelanggan yang lebih tinggi dalam tempoh 12 bulan lalu, dengan peningkatan daripada 34 peratus kepada 57 peratus bahagian pelanggan yang menggunakan lebih lima gigabait sebulan pada Julai 2017.

"Operator di Malaysia dan kerajaan perlu bersedia untuk meneroka potensi 5G. Ericsson sebagai peneraju dalam teknologi 4G dan 5G, adalah rakan pilihan untuk pengendali di Malaysia," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Pada Mei 2017, Ericsson dan Celcom Axiata Bhd menjalankan percubaan isyarat 5G di Malaysia untuk membangunkan rangkaian telekomunikasi mudah alih.

Percubaan itu diikuti dengan memorandum persefahaman (MoU) 5G, yang ditandatangani oleh kedua-dua syarikat di Barcelona pada Februari 2017.

Ashton berkata, isyarat 5G dijangka digunakan secara meluas di seluruh negara menjelang antara 2022 hingga 2023.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, penggunaan 5G di negara ini mampu dilaksanakan kurang daripada lima tahun jika kerja-kerja asas dilakukan sekarang.

"Spektrum untuk 5G akan dipersetujui secara global pada 2019 dan seluruh industri perlu fokus ke aras itu (5G) sebaik sahaja ia dipersetujui," katanya.

Pada majlis itu, Ericsson mengumumkan lanjutan usaha sama Sistem Sokongan Perniagaan (BSS) dengan U-Mobile Sdn Bhd selama lima tahun hingga 2022.

Usaha sama ini yang dimeterai buat pertama kali pada 2012, akan memberi tumpuan kepada penyampaian teknologi dan inovasi, menaik taraf perkhidmatannya dan membentuk pakej baharu untuk pelanggan U Mobile.

Pada masa ini, Ericsson mengendalikan lebih lima juta pengguna prabayar dan pascabayar dalam menguruskan sistem sokongan perniagaan untuk U Mobile.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif U-Mobile, Wong Heang Tuck, berkata perkhidmatan e-dompet syarikat itu sedang menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia.

"Kami menjangkakan untuk mendapatkan kelulusan tidak lama lagi dan berharap dapat melancarkan perkhidmatan e-dompet menjelang tahun ini," katanya.

397 dibaca
Berita Harian X