Jumaat, 8 September 2017 | 6:53pm

Huawei, MIMOS jalin usaha sama bandar pintar

KUALA LUMPUR: Huawei Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MIMOS, pusat penyelidikan dan pembangunan negara dalam ICT, bagi mengenal pasti penyelesaian pintar berkaitan dengan keselamatan awam dan projek bandar pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Ahmad Rizan Ibrahim berkata, antara lainnya, penyelesaian tersebut akan membantu rakyat dan pihak berkuasa mengesan, mengurangkan dan mencegah ancaman terhadap keselamatan awam.

"Susulan beberapa bandar kita terus berkembang antaranya dari segi saiz, terdapat keperluan yang semakin meningkat bagi teknologi dan penyelesaian inovatif untuk memastikan rakyat dan infrastruktur kita selamat.

"Oleh itu, kami berusaha ke arah melabur dalam inisiatif pintar, terutama mengenai keselamatan awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama tersebut akan menyaksikan kedua-dua pihak bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran dalam membangunkan penyelesaian teknologi menggunakan makmal terbuka Huawei dan Platform Inovasi Terbuka MIMOS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Abraham Liu Kang berkata mereka akan menggabungkan platform awan dan analisis mereka untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pihak berkuasa untuk memastikan persekitaran selamat bagi orang ramai.

"Pelaksanaan kaedah baharu akan meningkatkan perkhidmatan awam dari segi memerangi jenayah dan mengurangkan masa tindak balas kecemasan, sekali gus meningkatkan persepsi orang ramai," kata Liu.

MOU hari ini adalah yang kedua bagi Huawei dan MIMOS, susulan kedua-dua syarikat itu memeterai perjanjian pada 2015 untuk menggalakkan dan membangunkan analisis data raya dan penyelesaian Internet Kebendaan bagi aplikasi industri. - BERNAMA

251 dibaca
Berita Harian X