Khamis, 24 Ogos 2017 | 3:16pm
SAMSUNG melancarkan model terbaharunya, Galaxy Note 8. - Foto REUTERS

Note 8 gabungan telefon pintar, tablet

NEW YORK: Samsung melancarkan model terbaharunya, Galaxy Note semalam sekali gus memberikan persepsi baharu kepada keluaran pengeluar peranti pintar itu yang sebelum ini berdepan masalah bateri yang meletup.

Pelancaran itu juga bakal menjadi cabaran baharu kepada pesaingnya, Apple yang bakal memperkenalkan iPhone 8 tidak lama lagi.

Pada majlis memperkenalkan Note 8, iaitu telefon bersaiz tablet 'phablet' di New York City, baru-baru ini semua pegawai eksekutif melahirkan penghargaan kepada peminat setia peranti berkenaan.

"Tidak ada seorang pun yang akan melupakan apa yang berlaku pada tahun lalu," kata Presiden Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung, DJ Koh.

"Saya tidak akan melupakan berjuta-juta pengikut setia yang sentiasa bersama kami, saya ucapkan ribuan terima kasih," katanya.

Gergasi Korea Selatan menyasarkan untuk menjadi pembuat telefon pintar pertama 'phablet' - menggabungkan ciri-ciri telefon pintar dan tablet - ketika memperkenalkan Note pertama lima tahun lalu.

Bagaimanapun, setakat ini, Samsung belum mendedahkan harga Note 8, dan ia boleh didapati di semua cawangan jualan pada 15 September ini. Namun, tempahan awal dibuka bermula hari ini.

Di kebanyakan laman web rantaian runcit di Amerika Syarikat (AS) menawarkan Note 8 pada AS$930 (RM3,976) tanpa subsidi syarikat komunikasi dan Apple juga dijangka akan menawarkan harga lebih kurang sama.

Note 8 mempunyai beberapa ciri menarik antaranya dwi kamera di belakang, keupayaan imej lebih baik, 'S Pen' untuk skrin sentuh. - AFP

935 dibaca
Berita Harian X