Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:26pm
- Gambar hiasan

Bursa Malaysia kekal tinggi akhiri sesi dagangan pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari susulan aktiviti belian semasa harga rendah.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.47 mata atau 0.79 peratus kepada 1,721.96 berbanding 1,708.49 pada penutupan Khamis.

Indeks bergerak antara 1,703.92 dan 1,722.95 sepanjang sesi pagi. Indeks utama dibuka 4.57 mata lebih rendah kepada 1,703.92.

Di pasaran serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 1.18 peratus kepada 25,563.53, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.19 peratus kepada 3,053.11 dan Nikkei 225 Jepun merosot 0.27 peratus kepada 22,518.84.

“Pasaran lemah selepas jualan besar-besaran ekuiti global sejak Februari.

“Perubahan landskap masih tidak menentu dengan kedudukan semasa dijangkakan berlarutan sekurang-kurangnya sehingga sidang kemuncak G20 pada November, namun kedudukan lebih baik hari ini melegakan selepas pengalaman pahit semalam,” kata Ketua Pedagang OANDA bagi Asia-Pasifik, Stephen Innes.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh di Bursa Malaysia, kaunter saham untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 433 berbanding 326, manakala 347 kaunter tidak berubah, 766 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.22 bilion unit bernilai RM1.06 bilion.

Antara saham berwajaran tinggi, Hong Leong Bank meningkat 20 sen kepada RM20.50, Public Bank naik lapan sen kepada RM24.98, Maybank melonjak 17 sen kepada RM9.45, Hong Leong Financial Group menambah 26 sen kepada RM18.98, CIMB meningkat 14 sen kepada RM5.80 dan Hap Seng Consolidated turun enam sen kepada RM9.51.

Bagi saham aktif, Vortex Consolidated dan Orion IXL masing-masing menambah setengah sen kepada 8.5 sen dan 10.5 sen, Gamuda naik tujuh sen kepada RM2.37, MYEG menambah lima sen kepada RM1.52, Sapura Energy tidak berubah pada 36.5 sen dan Hibiscus Petroleum susut satu sen kepada RM1.18.

Indeks FBM Emas melonjak 80.27 mata kepada 11,938.85, Indeks FBMT 100 menambah 81.92 mata kepada 11,767.62 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 72.84 mata kepada 11,965.03.

Indeks FBM Ace naik 33.44 mata kepada 4,937.79 dan FBM 70 menokok 57.27 mata kepada 13,880.48.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 5.82 mata kepada 7,398.36, Indeks Perusahaan dan Perkhidmatan meningkat 0.37 mata kepada 171.25 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 199.85 mata kepada 17,419.15.

-- BERNAMA

67 dibaca
Berita Harian X