Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:04am

Saham Asia dibuka lebih tinggi

SINGAPURA: Saham Asia meningkat pada Jumaat, mencatatkan pengukuhan selepas mengalami kerugian sembilan hari berturut-turut, namun sentimen kekal lemah susulan kejatuhan di pasaran Wall Street dan jangkaan ketidaktentuan pasaran meningkat kepada paras tinggi dalam tempoh lapan bulan.

Kebimbangan berhubung impak ekonomi bagi perang dagang Sino-Amerika Syarikat (AS), peningkatan hasil bon AS minggu ini dan keraguan menjelang sesi pengumuman pendapatan menjadi alasan berpotensi di sebalik aktiviti jualan besar-besaran sejak Februari.

Indeks meluas MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun meningkat 0.2 peratus selepas pembukaan pasaran Korea Selatan dan Australis, sehari selepas ia susut 3.6 peratus untuk mencecah paras rendah dalam tempoh satu setengah tahun.

Nikkei Jepun susut 0.6 peratus.

Sementara itu, indeks AS, S&P 500 susut 2.06 peratus semalam kepada paras rendah dalam tempoh tiga bulan, menyusul selepas kejatuhan 3.29 peratus pada Rabu.

Niaga hadapan saham AS melantun semula 0.6 peratus pada sesi dagangan awal Asia pada Jumaat, sebahagian disokong oleh laporan media bahawa Jabatan Perbendaharaan AS tidak akan menyebut bahawa China adalah manipulator mata wang dalam laporan akan datang.

“Pasaran saham AS kini susut sekitar tujuh peratus daripada paras tinggi 100 hari,” kata ahli ekonomi RBC Capital Markets dalam nota penyelidikan.

- Reuters

64 dibaca
Berita Harian X