Khamis, 17 Mei 2018 | 8:46pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini, selari dengan kebanyakan mata wang serantau berikutan dolar AS terus mengukuh susulan Hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi.

Ia juga dipadankan dengan laporan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan pada suku pertama 2018, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 3.9670/9710 berbanding dolar AS daripada 3.9650/9700 yang direkodkan semalam.

Laporan menyatakan bahawa Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat mencecah 3.1 peratus.

Ketua Perdagangan OANDA di Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata harga minyak yang lebih tinggi akan memastikan nilai ringgit untuk kekal kukuh, namun pergerakan mata wang tempatan itu sukar diramal berikutan hasil AS yang semakin tinggi.

"Kadar faedah AS yang lebih tinggi memberi impak negatif kepada ringgit," katanya kepada Bernama.

Semalam, Bank Negara Malaysia, berkata ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2018, disokong oleh pengembangan aktiviti sektor swasta dan sokongan kukuh daripada eksport bersih.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakan rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali yen yang mana ia meningkat kepada 3.5836/5878 daripada 3.5993/6042 kelmarin.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9558/9599 daripada 2.9530/9569, menyusut berbanding pound Britain 5.3543/3612 daripada 5.3416/3500 dan menurun sedikit berbanding euro kepada 4.6815/6878 daripada 4.6811/6886.

-BERNAMA

1449 dibaca
Berita Harian X