Selasa, 15 Mei 2018 | 8:13pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dolar terus mengukuh di pasaran membangun di Asia, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 3.9540/9580 berbanding 3.9480/9530 ketika ditutup pada Isnin.

"Hari ini pasaran lebih lemah, ditambah dengan ketidaktentuan sejak minggu lalu dan ketika pelabur tidak memasuki pasaran berikutan pilihan raya umum baru-baru ini.

"Sebaliknya, hasil bon Amerika Syarikat yang lebih baik membantu meningkatkan dolar US," kata Ketua Perdagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes kepada Bernama.

Dilaporkan hasil AS di Perbendaharaan 10 tahun meningkat satu mata asas kepada 3.02 peratus dan merupakan paras tertinggi dalam hampir tiga minggu.

Innes berkata, pasaran bon tempatan juga lengang, mencerminkan sikap tunggu dan lihat yang dialami pasaran hari ini.

"Kami tidak menjangka pelabur akan beramai-ramai kembali kepada ringgit kerana isu cukai barang dan perkhidmatan yang tidak popular perlu diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, ringgit dijangka mengalami sedikit masalah dalam beberapa minggu akan datang, tetapi sebaik sahaja kerajaan mengumumkan dasar, mata wang tempatan tersebut boleh didagangkan dengan lebih kukuh berikutan ekonomi yang kukuh, faktor luaran yang stabil serta dan harga minyak yang

lebih tinggi.

Sementara itu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, ringgit akan menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila keyakinan terhadap negara dan ekonomi dipulihkan kerana beliau percaya asas-asas ekonomi masih utuh.

Beliau adalah ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed Sabtu lepas.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9578/9617 daripada 2.9564/9598 pada Selasa dan jatuh berbanding yen kepada 3.5972/6081 daripada 3.5966/6003.

Ringgit menyusut berbanding pound Britain kepada 5.3565/3635 daripada 5.3555/3599 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7155/7211 daripada 4.7111/7163. - BERNAMA

352 dibaca
Berita Harian X