Selasa, 15 Mei 2018 | 2:16pm

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan keyakinan pelabur terus pulih susulan keputusan pilihan raya umum yang mengejutkan baru-baru ini, dengan jaminan daripada kerajaan baharu berhubung peralihan kuasa yang teratur.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.38 mata kepada 1,855.8 daripada 1,850.42 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka tinggi 6.8 mata kepada 1,857.22 dan bergerak antara 1,850.24 dan 1,859.83 sepanjang sesi.

Ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang baru ditubuhkan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, berkata persekitaran ekonomi yang menggalakkan, seperti harga minyak global tinggi yang pada masa ini diniagakan melebihi AS$70 setong, akan memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar tertentu agar mempunyai pelarasan yang teratur.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata dasar baharu penting dan ini termasuk meningkatkan pendapatan boleh guna kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.78, Public Bank merosot 36 sen kepada RM24.44 dan TNB berkurangan 10 sen kepada RM15.90.

Petronas Chemicals menambah enam sen kepada RM8.76 dan CIMB naik 14 sen kepada RM6.69.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 83 sen, Eden jatuh 7.5 sen kepada 38.5 sen dan Berjaya Corp merosot 2.5 sen kepada 36.5 sen.

Eduspec menokok 3.5 sen kepada 13 sen manakala Sumatec tidak berubah pada 5.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 40.52 mata kepada 12,930.89, Indeks FBMT 100 meningkat 48.26 mata kepada 12,734.38, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 66.59 mata kepada 13,076.15 dan FBM 70 menambah 96.80 mata kepada 15,250.76.

FBM Ace susut 47.43 mata kepada 5,474.89.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 53.22 mata kepada 18,244.11, Indeks Perusahaan meningkat 23.65 mata kepada 3,291.84 dan Indeks Perladangan menambah 88.98 mata kepada 7,995.06.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 520 berbanding 452, manakala 279 kaunter kekal tidak berubah, 618 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.25 bilion unit bernilai RM1.92 bilion.

- BERNAMA

876 dibaca
Berita Harian X