Rabu, 14 March 2018 | 11:46am

Firma penyelidikan yakin ke atas saham IJM

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan yakin ke atas saham IJM Corp, memandangkan unitnya, IJM Construction Sdn Bhd, memperoleh pakej bawah tanah LRT 3, dari Bandar Utama ke Johan Setia membabitkan nilai kontrak sebanyak RM1.12 bilion, daripada Prasarana Malaysia Bhd.

Maybank IB Reseach dalam notanya mengulangi saranan beli memandangkan perolehan kontrak terbaharu IJM itu akan meningkatkan nilai perolehan projek pada kadar tertinggi baharu sebanyak RM9.8 bilion yang akan meningkatkan lagi ketampakan pendapatan jangka sederhananya.

"Anggaran pendapatan tahunan 2019/2020 masing-masing dinaikkan sebanyak tiga peratus dan lima peratus, dengan mengambil kira sumbangan daripada pakej kerja dari anggaran tahun kewangan 2019 dan seterusnya," katanya.

Maybank IB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran berasaskan harga yang tidak berubah sebanyak RM3.40.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd dalam nota berasingan berkata kadar penambahan semula projek IJM adalah lebih tinggi berbanding unjuran.

"Tempoh penyiapan projek itu adalah selama 31 bulan, dan dengan mengambil kira 10 peratus margin keuntungan sebelum cukai, kontrak itu dijangka menyumbang RM85 juta dalam tempoh pembinaan," katanya.

Ia juga mengekalkan saranan 'berprestasi tinggi' dengan harga sasaran pada RM3.40.

Sementara itu, RHB Research Institute dalam notanya berkata syarikat itu mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk menjalankan projek ini, dengan pengalaman terdahulu dalam kerja-kerja terowong untuk projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor.

"Pemerolehan projek baharu itu sudah mencukupi untuk memastikan syarikat itu sibuk selama empat tahun akan datang, dan kami berpendapat FY19 dapat terus menarik memandangkan ia merupakan pesaing kukuh dalam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura," katanya.

RHB Research mengulangi saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.30, naik 19 peratus.

Pada 10.50 pagi, harga saham IJM susut satu sen kepada RM2.75 dengan 1,215,600 lot bertukar tangan.

- BERNAMA

262 dibaca
Berita Harian X