Selasa, 13 Februari 2018 | 3:24pm

Pasaran saham kekal dalam aliran meningkat

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus mendapat sokongan asas domestik yang kukuh pada separuh pertama tahun ini, meskipun tercetus aktiviti penjualan saham besar-besaran di pasaran Wall Street baru-baru ini yang menyaksikan indeks Dow Jones menjunam sehingga 1,600 mata.

Maybank Investment Bank (Maybank IB), berkata ia menjangkakan sentimen positif serta rangsangan fiskal pra- Pilihanraya Umum ke-14 dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi dua pemacu utama kepada kerancakan pelaburan.

"Rangsangan fiskal yang diterajui oleh pilihan raya umum akan menjurus kepada sektor pengguna di mana pertumbuhan dalam pendapatan boleh guna dijangka berterusan dan menerajui separuh pertama tahun ini. Kenaikan OPR juga akan memberi manfaat kepada bank.

"Selain itu, Maybank IB percaya kontraktor berpengalaman seperti Gamuda, IJM Corp, Sunway Construction dan Cahya Mata Sarawak berpotensi besar untuk meraih kontrak projek mega," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru.

Menurut Maybank IB, sektor pelancongan pula akan dipacu oleh perbelanjaan tinggi pelancong berkualiti selain Tahun Melawat Malaysia 2020 dijangka memacu sektor berkenaan berdasarkan kejayaan dua program sama pada 2007 dan 2014.

"Pada 2007 dan 2014, kehadiran pelancong mencatat peningkatan masing-masing 19 peratus dan tujuh peratus tahun ke tahun, sementara perbelanjaan pelancong tumbuh 27 peratus dan 10 peratus," katanya.

Firma pelaburan itu juga menjelaskan, pembangunan infrastruktur turut dijangka memacu aktiviti ekonomi di Sabah dan Sarawak serta Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Projek Lebuhraya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memacu aktiviti ekonomi.

"Bagi Sarawak, Bank Pembangunan Sarawak dan PETROS (Petroleum Sarawak Bhd) serta di Sabah, Sabah International Petroleum Sdn Bhd juga bakal menjadi pemangkin," katanya.

Maybank IB juga menjangka latar belakang makroekonomi Malaysia juga kekal kukuh tahun ini dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar melepasi lima peratus, meneruskan momentum 5.3 peratus dari 2017.

"Pertumbuhan ini disokong momentum pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang mapan, pertumbuhan pelaburan lebih kukuh dipacu projek pelaburan dan infrastruktur utama baharu serta sedia ada, dan lonjakan dalam perbelanjaan penggunaan kerajaan.

"Kami juga kekal optimistik terhadap ringgit dengan menyemak semula nilai mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2018 kepada RM3.65 berbanding RM3.90 sebelum ini," katanya.

Info

  • Maybank IB jangka nilai ringgit mengukuh kepada RM3.65 sedolar pada akhir 2018
143 dibaca
Berita Harian X