;
Isnin, 12 Februari 2018 | 8:13pm
- Gambar hiasan

Harga minyak mentah global meningkat satu peratus

SINGAPURA: Harga minyak meningkat satu peratus pada Isnin, mencatatkan pemulihan dari penyusutan minggu lalu susulan pasaran saham Asia semakin stabil selepas mengalami sesi dagangan yang tidak menentu.

Bagaimanapun, pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS) terus mencatat kenaikan, sekali gus melemahkan usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia untuk menyempitkan pasaran dan menaikkan harga minyak.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$63.54 satu tong pada 0728 GMT, naik 75 cents, atau 1.2 peratus dari sesi penutup sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$60.04 satu tong, naik 84 cents, atau 1.4 peratus daripada sesi penutup sebelumnya.

Harga yang lebih kukuh itu adalah berikutan minyak mentah mencatatkan penyusutan terbesarnya dalam tempoh dua tahun, minggu lalu susulan pasaran saham dunia mengalami menyusut.

Namun disebabkan ekuiti AS mencatat lantunan pada Jumaat dan pasaran Asia semakin stabil pada Isnin, penganalisis berkata ia turut mendorong kenaikan harga minyak mentah.

"Lantunan semula saham AS mendorong kepada kenaikan harga minyak," kata Ketua Strategi Pasaran di Axi-Trader, Greg McKenna.

Bagaimanapun, pasaran minyak masih berdepan dengan pengeluaran minyak AS, yang mencatat peningkatan melebihi 10 juta tong sehari (bpd), mengatasi pengeksport utama, Arab Saudi dan menghampiri jumlah keluaran Russia.

- REUTERS

225 dibaca
Berita Harian X