;
Jumaat, 26 Januari 2018 | 10:20am

Ringgit susut sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, namun kekal kukuh dengan persekitaran sentimen positif dalam pasaran, dalam kedudukan dolar yang lemah, kata peniaga.

Dolar AS bertukar positif pada Khamis apabila Presiden Donald Trump berkata, beliau mahukan 'dolar yang kukuh' sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, sehari sebelum itu bahawa beliau menyambut baik dolar yang lemah, menyebabkan mata wang negara itu susut ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun.

Pada jam 9.00 pagi, ringgit berada pada paras 3.8850/8900 berbanding dolar AS daripada 3.8840/8870 pada penutupan Khamis.

Ketua Perdagangan Asia Pasifik Oanda Corp, Stephen Innes, berkata pasaran kini mempunyai lebih pendedahan kepada ringgit berbanding unjuran pasaran, dan apabila Bank Negara Malaysia memutuskan kenaikan kadar konsensus, ia tidak mendapat sokongan seperti yang diharapkan.

"Ia mungkin kes yang bergerak terlalu jauh terlalu cepat dan penggiat pasaran bersedia untuk membuat keuntungan pada peringkat awal yang lebih rendah," katanya.

Innes berkata, keuntungan segera ringgit mungkin terbantut oleh pandangan 'laissez-faire' terhadap unjuran inflasi domestik apabila kenyataan itu menyebut Indeks Harga Pengguna dijangka lebih rendah pada 2018.

"Ini menunjukkan kenaikan satu kadar saja untuk 2018, dengan unjuran kadar inflasi lebih rendah," katanya.

Bank Negara Malaysia berkata, tekanan inflasi bukan menjadi penyebab utama dalam membuat keputusan menaikkan kadar faedah, sebaliknya lebih kepada mengurangkan kedudukan cemas sebagai penampan kesan Brexit yang berpotensi menggugat kestabilan, kata Innes.

Bagaimanapun, ringgit disokong dengan baik oleh asas makro teguh dan harga bahan api lebih tinggi, katanya, dan menambah pertimbangan pasaran mengenai aliran menurun kitaran lanjutan pada dolar AS, juga boleh mendorong peningkatan ringgit di bawah paras 3.80 dalam tempoh terdekat dengan kemungkinan bergerak ke tahap 3.70 jika kenaikan kadar pada 2018 menjadi kenyataan.

"Setakat hari ini, kita harus mengharapkan mata wang tempatan menjejaki pergerakan dolar AS berbanding yen Jepun (JPY) serta China Yuan Renminbi (CNH) sebagai pemacu serantau kritikal untuk sentimen dolar hari ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8197/8271 daripada 4.8286/8327 pada Khamis dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9663/9706 daripada 2.9746/9781.

Ringgit lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.5027/5102 daripada 5.5491/5537, dan meningkat berbanding yen kepada 3.5415/5464 daripada 3.5630/5661. - BERNAMA

494 dibaca
Berita Harian X