Selasa, 12 September 2017 | 9:37pm
DATUK Seri Ong Ka Chuan, melawat gerai usahawan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ketika majlis pembukaan Pavilion Malaysia di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) Ke-14 di Nanning, China.

Hab logistik e-dagang Malaysia-China akan dibuka

NANNING, China: Sebuah hab logistik e-dagang Malaysia-China akan ditubuhkan bagi menyediakan kemudahan serta peluang kepada syarikat dari kedua-dua negara mengakses pasaran yang lebih besar.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Pos Malaysia Bhd dalam tempoh terdekat ini untuk membincangkan mengenai penubuhan hab berkenaan di Malaysia dengan kerjasama China Post Group Corporation.

China Post adalah firma penghantaran milik kerajaan China yang sangat berpengaruh dalam e-dagang kerana memiliki jaringan lebih 50,000 pejabat pos di seluruh negara itu.

Ka Chuan berkata, sementara itu bagi Pos Malaysia pula, sudah tiba masa ia mentransformasikan model perniagaannya kepada hab logistik e-dagang.

"Saya akan jumpa wakil Pos Malaysia sebaik saja saya sampai di sana (Malaysia) dan bercakap mengenai perkara ini. Sudah tiba masanya mengubah Pos Malaysia kerana orang ramai tidak lagi menghantar surat ketika ini. Jadi, saya fikir kita perlu ubah dari hanya pejabat pos kepada hab e-dagang.

"Justeru, saya mendapat inspirasi daripada ini. Kita perlu mengubah Pos Malaysia dan menawarkan perkhidmatan kepada semua peringkat termasuk bandar dan luar bandar. Kita perlu belajar daripada sejarah China Post," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan akses syarikat Malaysia ke pasaran China terutama di kawasan luar bandar yang diadakan sempena Ekspo China ASEAN (CAEXPO) Ke-14.

MoU itu dimeterai antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), China Post Guangxi Zhuang Autonomous Region Branch dan KCO Logistics and Distribution Services Sdn Bhd.

Ka Chuan berkata, kerjasama strategik antara ketiga-tiga pihak mampu mengembangkan persekitaran perniagaan dan mempromosikan usahawan tempatan meneroka pasaran pengguna China, yang menjadi antara kumpulan pengguna terbesar di dunia.

"Ia boleh dilaksanakan dengan penubuhan Pavilion Malaysia di laman web e-dagang China Post, ule.com dan memasarkan produk PKS ke pasaran republik ini," katanya.

Katanya, ule.com adalah platform e-dagang luar bandar yang menghubungkan usahawan tradisional menerusi platform atas talian dan dibantu jaringan logistik China Post.

"Sebagai ekonomi kedua dunia terbesar dengan populasi penduduk seramai 1.37 bilion, China kekal menjadi fokus sasaran utama eksport berikutan permintaannya yang tinggi terhadap produk PKS tempatan di negara ini," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri upacara Pembukaan Rasmi CAEXPO Ke-14 dan Persidangan Perniagaan dan Pelaburan China ASEAN (CABIS).

Ia dianjurkan bersama oleh China dan 10 negara ASEAN bermatlamat mempromosikan kerjasama antara China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

INFO

*CAEXPO Ke-14 diadakan pada 12-15 September

101 dibaca
Berita Harian X