Selasa, 12 September 2017 | 12:30pm

Saham FGV dapat perhatian

KUALA LUMPUR: Saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Bursa Malaysia terus menarik perhatian, dengan dagangan saham syarikat itu kekal aktif, dan kumpulan itu mula menunjukkan kemajuan dalam menyelesaikan isu dalam kumpulan berkenaan.

Pada 10.41 pagi, kaunter syarikat itu meningkat empat sen kepada RM1.75 dengan 8.82 juta saham bertukar tangan.

Semalam, kumpulan itu mengesahkan laporan bahawa Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, 56, dilantik sebagai pengerusi baharu syarikat, berkuat kuasa 11 Sept, menamatkan spekulasi mengenai siapa yang akan bakal menerajui FGV.

Azhar mengambil alih jawatan itu daripada Pemangku Pengerusi Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, selepas pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 September 2017.

Mesyuarat selama tiga jam dengan pengurusan kanan FGV semalam yang dipengerusikan Azhar, memberi tumpuan kepada rancangan dan usaha untuk meningkatkan prestasi syarikat, tindakan yang penting bagi syarikat menjadi lebih berdaya saing dan dapat mencapai pertumbuhan mampan pada masa depan.

Azhar dalam laporan media semalam berkata, walaupun menghadapi krisis, keadaan itu bukan halangan bagi FGV untuk terus meningkatkan momentum perniagaannya.

Beliau berkata, FGV hanya akan memberi tumpuan kepada perkara positif dan menyelesaikan setiap masalah secara berperingkat-peringkat. - Bernama

237 dibaca
Berita Harian X