Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:09pm
MOHAMED Azmin menyampaikan ucaptama penutup pada Persidangan China 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

MRT2: Jawatankuasa nilai semula kontrak kerja bawah tanah diwujudkan

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menilai semula kontrak kerja bawah tanah yang telah dianugerahkan kepada MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd (MMC Gamuda) untuk projek Laluan 2 Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT2).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah keputusan Kabinet dan kerajaan tidak akan menghentikan semua projek.

“Seperti yang saya tekankan juga bahawa sementara kita mengakui hutang negara adalah besar, kerajaan juga akan fokus kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Maka kita mahu pelaburan infrastruktur yang produktif, pendidikan dan teknologi kerana itu ia mesti diteruskan. Kita tidak boleh hentikan semua projek kerana ia akan memberi impak kepada semua pertumbuhan ekonomi domestik.

“Di dalam konteks ini kita akan menilai semula projek ini bagi mengurangkan kos dan kita akan menelitinya. Pertemuan di antara jawatankuasa ini dengan MMC-Gamuda akan dibuat tidak lama lagi kerana kita tidak mahu menangguhkan projek ini, kita mahu berbincang dan menilai semula serta putuskan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama penutup pada Persidangan China 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada nasib 20,000 pekerja yang terbabit dalam kerja bawah tanah projek MRT2 akan dibincangkan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan bagi membincangkan mengenai projek berkenaan.

Azmin berkata, kerajaan akan memastikan tiada sesiapa yang bakal kehilangan pekerjaan dalam projek bawah tanah MRT2 ketika perbicangan bersama MMC Gamuda diadakan kelak.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang secara menyeluruh termasuk membabitkan keseluruhan projek dari segi kos, reka bentuk dan perinciannya.

“Sudah tentu kita mahu melindungi pekerja kita. Kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang hilang kerja,” katanya ketika ditanya sama ada nasib 20,000 pekerja yang terbabit dalam kerja bawah tanah projek MRT2 akan dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Penubuhan jawatankuasa khas itu disebut dalam laporan media yang berkata ia akan dianggotai oleh empat menteri termasuk Azmin, Menteri Kewangan, Menteri Kerja Raya dan Menteri Pengangkutan.

Ia susulan daripada kenyataan dikeluarkan oleh MMC Gamuda pada Selasa lalu yang berkata keputusan kerajaan mahu melaksanakan semula tender kerja bawah tanah projek MRT2, bagi kerja yang belum selesai menerusi proses tender terbuka antarabangsa akan menjejaskan lebih 20,000 tenaga kerja.

MMC Gamuda sebagai firma yang diberikan kontrak bagi kerja bawah tanah berkata, penamatan kontraknya turut akan menjejaskan lebih dari 600 syarikat dari rantaian sokongan yang terbabit.

Daripada angka itu, lebih daripada 3,000 pekerja terdiri daripada kakitangan MMC Gamuda JV, lebih daripada 60 peratus daripada mereka adalah Bumiputera.

440 dibaca
Berita Harian X