Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:47pm
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan, Nordin Daharom (dua kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Operasi), Ahmad Zailan Azizuddin (kiri) dan Pengarah NAPIC, Md Badrul Hisham Awang pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Mengikut Wilayah dan Taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2018 di Institut Penilaian Negara (INSPEN). - Foto Nurul Shafina Jemenon

Cadang tubuh Jawatankuasa Kawalan Kos dan Harga Rumah

KAJANG: Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mengesyorkan supaya kerajaan mewujudkan jawatankuasa kawalan kos dan harga rumah bagi memantau serta memberi cadangan berkaitan harga rumah.

Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom, berkata, penubuhan jawatankuasa itu dijangka dapat memantau kos pembangunan hartanah, sekali gus mengatasi isu harga rumah yang tidak mampu dibeli.

Beliau berkata, pihaknya kini di peringkat menyiapkan kertas cadangan berkenaan untuk dikemukakan ke peringkat kementerian.

“Jawatankuasa berkenaan perlu diwakili pelbagai pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Tanah dan Galian, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, kerajaan negeri malah JPPH sendiri yang memiliki pangkalan data, pengalaman serta kepakaran dalam memberikan gambaran harga pasaran semasa harta tanah.

“Menerusi penubuhan jawatankuasa itu, ia dapat memantau kos pembangunan supaya harga rumah kekal terkawal dan mampu dimiliki oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Harta Tanah Mengikut Wilayah dan Taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat serta data yang dikumpulkan, jawatankuasa berkenaan boleh menjalankan rundingan sebelum menetapkan harga rumah yang munasabah di pasaran.

“Lazimnya, harga rumah ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam pasaran. Selain itu, komponen pembangunan seperti bayaran premium, bahan binaan, tenaga buruh dan peratus keuntungan pemaju turut mempengaruhi penetapan harga jualan oleh mereka (pemaju).

“Kos ini seterusnya diterjemahkan ke dalam harga rumah yang perlu ditanggung oleh pembeli. Justeru, cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan memainkan peranan dalam menetapkan harga rumah lebih munasabah,” katanya.

Selain itu katanya, pihak berkaitan juga boleh bekerjasama dengan KPKT dalam merangka satu sistem yang mana kementerian itu boleh merujuk jadual harga minimum-maksimum yang disyorkan oleh JPPH sebelum meluluskan satu-satu permohonan permit Iklan dan Jualan Baharu bagi setiap jenis rumah.

“Dalam hal ini, kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai mengawal harga harta kediaman tetapi memainkan peranan dalam menghebahkan indikator penting pasaran harta tanah supaya pasaran lebih terkawal,” katanya.

51 dibaca
Berita Harian X